Isnin, 2 Disember 2019 | 11:17am
Kesan tembakan di cermin sebuah trak yang tersadai di tepi jalan selepas pertempuran antara suspek kartel yang disyaki di Villa Union, Coahuila, Mexico. - Foto REUTERS

Pertempuran polis, kartel dadah Mexico catat 21 kematian

MEXICO CITY: Angka kematian dalam pertempuran antara polis dan anggota kartel dadah di utara Mexico hujung minggu lalu meningkat kepada 21, kata pihak berkuasa.

Ia sekali gus menyemarakkan ketegangan dua hala yang dicetuskan ikrar Presiden Donald Trump untuk melabelkan rangkaian dadah sebagai pengganas.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador, yang mahukan pendekatan kurang kontroversi untuk menewaskan kartel, semalam mengulangi beliau enggan menerima sebarang campur tangan luar, sambil menggandakan strategi membendung keganasan itu.

Namun pembunuhan membayangi perayaan menyambut ulang tahun pertama beliau menjawat jawatan itu, yang diganggu dengan perarakan di Mexico City oleh ribuan penduduk membantah keganasan.

Kerajaan negeri Coahuila berkata, pasukan keselamatan membunuh tujuh penyerang awal semalam, pertambahan kepada 10 yang ditembak mati di dan sekitar pekan Villa Union tidak jauh dari sempadan Texas.

Empat anggota polis turut maut dan enam lagi cedera dalam kejadian berbalas tembakan, yang mengejutkan penduduk sekitar tengah hari kelmarin.

Ia turut mencetuskan kebimbangan di media sosial dan kritikan terhadap pendekatan kerajaan mengendalikan kartel berpengaruh. —Reuters

Berita Harian X