Selasa, 7 Januari 2020 | 3:17pm
MARK Esper
MARK Esper

Esper nafi pasukan tentera AS akan keluar dari Iraq

WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Mark Esper, menafikan pasukan tentera negara itu akan keluar dari Iraq.

Ia susulan sepucuk surat dikatakan daripada pihak AS, memaklumkan Kerajaan Iraq bahawa pasukan itu sedang bersiap sedia meninggalkan Iraq atas penghormatan terhadap kedaulatan negara berkenaan.

“Tiada sebarang keputusan untuk meninggalkan Iraq... Tiada keputusan dibuat untuk meninggalkan Iraq.

“Surat itu tidak konsisten dengan di mana kita berada sekarang,” kata Esper, sehari selepas Parlimen Iraq mengundi untuk tentera AS keluar dari negara itu.

Surat rasmi daripada Jeneral Brigedier William Seely menyatakan secara jelas bahawa pasukan AS bersiap sedia untuk meninggalkan negara itu.

“Sebagai penghormatan terhadap kedaulatan Republik Iraq dan seperti diminta oleh Parlimen Iraq serta Perdana Menteri, CJTF-OIR akan menyusun semula pasukan dalam tempoh beberapa hari dan minggu akan datang bagi mempersiapkan pergerakan seterusnya,” tulis beliau, merujuk kepada pasukan gabungan yang memerangi ISIS (Daesh).

Kesahihan surat itu disahkan kepada AFP oleh pegawai pertahanan Iraq dan AS.

Bagaimanapun, Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Mark Milley, berkata surat itu hanyalah ‘rangka’ yang tidak sepatutnya dihantar.

Beliau berkata, ayat surat itu ‘tidak tepat’ dan maksud sebenarnya ialah AS mengalihkan tentera antara pangkalan, bukan mengundurkan diri.

“Ia adalah satu kesilapan yang jujur, satu rangka surat yang tidak ditandatangani kerana kami sedang menggerakkan pasukan ke sana sini.

“Ini adalah satu kesilapan. Ia tidak sepatutnya dihantar,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Esper berkata, ramai rakyat Iraq, termasuk Ahli Parlimen yang tidak mengambil bahagian dalam undi terbabit, menghargai kehadiran AS di negara berkenaan.

“Saya fikir rakyat Iraq tidak mahu kami meninggalkan negara itu. Mereka tahu AS berada di sana untuk membantu mereka menjadi sebuah negara yang berdaulat, mampu berdikari dan makmur.

“Rakyat Iraq menghadapi keadaan yang dahsyat di negara sendiri di mana mereka tidak berkuasa, negara mereka dikongkong oleh Teheran,” katanya. - AFP

Berita Harian X