Khamis, 16 Januari 2020 | 8:38am
- Gambar hiasan/REUTERS
- Gambar hiasan/REUTERS

China-Amerika Syarikat meterai Perjanjian Perdagangan Fasa Pertama

WASHINGTON: Amerika Syarikat dan China memeterai perjanjian perdagangan semalam yang akan mengurangkan beberapa tarif sekali gus menjadi satu langkah bagi meningkatkan pembelian China terhadap produk keluaran AS, selepas 18 bulan kedua-dua negara terbabit dalam kemelut dagang.

Perjanjian fasa pertama membabitkan kuasa ekonomi terbesar dan kedua itu dianggap permulaan yang baharu yang turut disambut baik dalam kalangan pelabur.

Dalam pada itu, masih timbul keraguan sama ada inisiatif yang diambil ini mampu untuk memulihkan hubungan perdagangan membabitkan China dan AS.

Menurut pandangan penganalisis dan ahli ekonomi, perjanjian itu bagaimanapun gagal menangani isu struktur ekonomi yang membawa kepada konflik perdagangan selama ini dan tidak sepenuhnya menghapuskan tarif sedangkan ia punca kelembapan ekonomi global ketika ini.

Presiden AS, Donald Trump mengakui rundingan lanjut bersama China diperlukan bagi menyelesaikan pelbagai masalah lain, selain beranggapan perjanjian itu sebagai satu kemenangan untuk ekonomi dan dasar perdagangan AS.

“Bersama-sama kita memperbetulkan kesalalahan lampau dan memberikan keadilan kepada ekonomi serta keselamatan kepada rakyat AS yang berkhidmat untuk negara, petani dan keluarga,” kata Trump ketika berucap di Rumah Putih ketika pemeteraian perjanjian berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri China, Liu He, pula ketika membacakan surat daripada Presiden Xi Jinping yang memuji perjanjian itu dan menganggapnya sebagai isyarat bahawa kedua-dua negara boleh menyelesaikan perbezaan mereka menerusi dialog.

Antara perkara utama yang dipersetujui daripada perjanjian itu ialah persetujuan China untuk membeli sekurang-kurangnya AS$200 bilion produk pertanian AS dan pelbagai barangan serta pertkhidmatan lain dalam tempoh dua tahun. China membeli barangan dan perkhidmatan AS bernilai AS$186 bilion pada 2017.

Komitmen pembelian itu merangkumi tambahan AS$54 bilion dalam sektor tenaga, AS$78 bilion produk pembuatan, AS$32 bilion produk pertanian dan AS$38 bilion dalam bidang perkhidmatan.

Dalam perkembangan lain, Penasihat Ekonomi Utama Rumah Putih, Larry Kudlow berkata, perjanjian itu akan menyumbang pertambahan 0.5 peratus kepada pertumbuhan produk domestik AS bagi tahun 2020 dan 2021. - REUTERS

Berita Harian X