Jumaat, 17 Januari 2020 | 9:09pm
Lana Sue Clayton dihukum penjara 25 tahun selepas didapati bersalah meracun suaminya.

Wanita bunuh suami menggunakan ubat titis mata dipenjara

WASHINGTON: Seorang wanita di South Carolina dihukum penjara 25 tahun selepas didapati bersalah meracun suaminya dengan mencampurkan ubat titis mata dalam minumannya.

Lana Sue Clayton, 53, dalam rayuannya, mengaku bersalah terhadap tuduhan membunuh tanpa niat, sehingga mengakibatkan kematian Steven Clayton, 64, di kediaman mereka di Clover, dekat Charlotte.

Dia dituduh meracun suaminya dengan mencampurkan ubat titis mata dalam air minumannya antara 19 dan 21 Julai 2018.

Pegawai di pejabat York County Sheriff, Trent Faris, berkata laporan bedah siasat dan toksikologi Steven menunjukkan terdapat bahan racun tetrahydrozoline, yang lazimnya terdapat dalam ubat titis mata.

“Koroner mendapati kadar tetrahydrozoline pada tahap membahayakan dalam sistem badannya, sekali gus mendorong siasatan kes ini dibuka semula,” katanya.

Pihak pendakwa berkata Lana Sue sebelum ini pernah melepaskan anak panah ke belakang kepala suaminya tetapi kes itu disifatkan sebagai kemalangan tidak disengajakan.

Dia mendakwa sering didera suaminya dan meletakkan Visine dalam minumannya tetapi hanya berniat untuk menyakitkan, bukan membunuhnya.

Katanya, dia mendapat idea meletakkan ubat titis mata itu, yang tiada rasa, warna atau bau, selepas melihatnya dilakukan dalam filem yang ditontonnya dan menyangkakan ia hanya akan menyebabkan cirit birit. - AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X