Rabu, 12 Februari 2020 | 7:29am
Antara rakyat Amerika Syarikat yang bebas dari wabak koronavirus China mencampakkan topeng muka mereka selepas menamatkan kuarantin di Riverside, California. - Foto REUTERS

AS bimbang rakyatnya dipulaukan

NEW MEXICO: Rakyat Amerika Syarikat (AS) digesa supaya tidak ‘memulaukan’ 200 warganya dan kakitangan sokongan yang dibebaskan daripada proses kuarantin selepas mereka dibawa pulang dari Wuhan, China susulan penularan wabak coronavirus (Covid-19).

Seramai 195 orang, kebanyakannya petugas Jabatan Negara AS dan keluarga mereka menjalani perintah kuarantin mandatori berkenaan, iaitu pertama seumpamanya sejak 1963.

Kumpulan terbabit dibawa pulang menerusi penerbangan kargo sewaan khas pada 29 Januari lalu yang dilaporkan selamat mendarat di Pangkalan Udara Simpanan March di Daerah Riverside, kira-kira 97 kilometer timur Los Angeles dan menjalani proses kuarantin selama 14 hari bagi mengekang risiko jangkitan ketika tempoh inkubasi.

Pegawai Kesihatan Daerah Riverside, Cameron Kaiser, menjelaskan penelitian pasukan perubatan mendapati tiada yang positif Covid-19, namun ketibaan mereka mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat yang bimbang individu dibawa pulang dari Wuhan itu berupaya menyebarkan wabak berkenaan.

“Mereka tidak memerlukan ujian saringan tambahan, mereka tidak wajar disisihkan kerana tidak mempunyai wabak coronavirus,” katanya pada sidang media.

Perangkaan semasa menunjukkan lebih 800 orang dibawa pulang dari Wuhan menerusi penerbangan sewaan khas AS, sejak 28 Januari lalu. Mengikut Jabatan Negara AS, kesemua individu terbabit diperintahkan menjalani proses kuarantin di pangkalan udara dekat California, Texas dan Nebraska.

Pengarah Bahagian Perlindungan Kesihatan Global (DGHP), Nancy Knight yang mengetuai operasi kuarantin berkata pihaknya menerima aduan bahawa kakitangan di pangkalan udara enggan ditempatkan di kawasan perumahan berdekatan komuniti setempat kerana bimbang akan menyebarkan wabak coronavirus kepada anak mereka.

“Anak mereka pula akan berdepan diskriminasi di sekolah disebabkan perkara ini, padahal tiada satu pun daripada kakitangan saya yang terbabit dalam operasi kuarantin ini membawa risiko penyakit berjangkit kepada orang awam.

“Mereka semua dipantau secara teliti berbanding sesiapa pun di Amerika Syarikat ketika ini,” katanya. - REUTERS

Berita Harian X