Khamis, 13 Februari 2020 | 12:37pm
DUTA China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun. - Foto Reuters
DUTA China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun. - Foto Reuters

'China tangani COVID-19 secara telus, sangat bertanggungjawab'

WASHINGTON: Pendekatan Kerajaan China dalam menangani wabak COVID-19 adalah telus dan ‘sangat bertanggungjawab’, sekali gus menafikan kritikan bahawa republik terbabit lambat bertindak berhubung perkara itu.

Duta China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun, memaklumkan Suruhanjaya Pembangunan Sosial PBB bahawa dalam berdepan epidemik itu, Beijing sentiasa bersikap terbuka, telus serta amat bertanggungjawab.

“Kita melaporkan maklumat epidemik itu kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), negara berkaitan, Hong Kong, Macau dan Taiwan sebaik saja ia tersedia, selain berkongsi butiran genetik virus terbabit serta aktif berkomunikasi dengan negara lain bagi memastikan mereka berupaya bertindak segera.

“Bukan sekadar demi kepentingan China tetapi juga untuk seluruh dunia, kita mengamalkan langkah kawalan dan pencegahan ketat, justeru mengekang penularan wabak ini secara berkesan,” katanya.

China sebelum ini dihujani kritikan berikutan tindakannya menyembunyikan kes penularan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2002 dan 2003, namun berbeza dengan COVID-19 apabila WHO memuji pelbagai pendekatan dilaksanakan Beijing.

Bagaimanapun, kemarahan awam tercetus di China, bulan ini, susulan kematian seorang doktor di Wuhan yang antara terawal memberi amaran mengenai kemunculan virus itu pada Disember lalu tetapi dikenakan tindakan oleh polis.

Pihak berkuasa di Hubei dan Wuhan berdepan kritikan ‘pedas’ serta luar biasa menerusi dalam talian kerana didakwa cuba merahsiakan perkembangan penularan wabak terbabit.

Pelbagai pihak yang menyuarakan kritikan menuding jari kepada pihak berkuasa tempatan yang didakwa tidak mengambil sebarang tindakan ketika fasa awal penyebaran COVID-19.

Pegawai di Hubei dan Wuhan mengadakan mesyuarat politik penting pada awal bulan lalu, sebelum angka korban dan kes jangkitan wabak dilaporkan meningkat secara mendadak daripada hanya satu korban pada 11 Januari kepada lebih 630 kematian dalam tempoh kurang empat minggu kemudian.

Menggesa kerjasama antarabangsa, Zhang berkata, merungkai isu kesihatan awam global adalah cabaran biasa yang terpaksa diharungi semua negara. - AFP

Berita Harian X