Jumaat, 14 Februari 2020 | 9:51am
LAGENDA bola sepak Brazil, Pele. - Foto AFP

Saya masih sihat - Pele

RIO DE JANEIRO: Lagenda bola sepak Brazil, Pele, meyakinkan peminat bahawa dirinya masih sihat, berikutan kenyataan anaknya baru-baru ini bahawa beliau mengalami kemurungan dan jarang meninggalkan rumah.

“Terima kasih atas doa anda dan jangan bimbang. Saya sihat dan akan mencecah usia 80 pada tahun ini.

“Ada hari yang baik dan ada yang tidak, ini biasa bagi seseorang berusia seperti saya,” katanya yang dianggap antara pemain bola sepak tersohor dunia, dalam satu kenyataan.

Anaknya, Edinho, berkata bapanya kerap keluar masuk hospital sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana pelbagai masalah kesihatan.

“Pergerakannya agak lemah dan akibatnya, mengalami kemurungan. Bayangkan, dia pernah dianggap ‘Raja’ tetapi kini mengalami kesukaran untuk berjalan seperti biasa dan terasa malu mengenainya.

“Beliau tidak pulih sepenuhnya daripada salah satu pembedahan, yang menyebabkannya terpaksa bertongkat,” katanya dalam satu temu bual dengan portal media sukan, Globoesporte.com, Isnin lalu.

Bagaimanapun, Pele berkata beliau masih memenuhi semua tuntutan pengiklan, meskipun mempunyai jadual yang padat.

“Saya terima hakikat bahawa keupayaan fizikal saya terbatas dan cuba seboleh mungkin untuk meneruskan hidup,” katanya yang juga satu-satunya pemain memenangi tiga Piala Dunia iaitu pada 1958, 1962 dan 1970.

Bintang Brazil, yang nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento, hanya mempunyai satu buah pinggang selepas kecederaan ketika bermain memaksa doktor mengeluarkan salah satu buah pinggangnya. - AFP

Berita Harian X