Jumaat, 14 Februari 2020 | 7:02pm

Industri penerbangan rugi AS$5 bilion kerana COVID-19 - ICAO

MONTREAL: Penularan wabak coronavirus baharu (COVID-19) dijangka menyebabkan pengurangan hasil dalam industri penerbangan antara AS$4 hingga 5 bilion di seluruh dunia, kata Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), semalam.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu melaporkan 70 syarikat penerbangan membatalkan semua penerbangan antarabangsa ke China dan dari negara itu, manakala 50 lagi mengurangkan operasi.

Anggaran awal menunjukkan pengurangan hampir 20 juta penumpang berbanding jangkaan bagi suku pertama tahun ini.

Jumlah itu bersamaan dengan kemungkinan kehilangan hasil sehingga AS$5 bilion, kata agensi berkenaan.

Virus itu sudah meragut 1,483 nyawa di China dan menjangkiti lebih 64,000 individu di negara itu, selain hampir 600 kes dilaporkan di 30 negara lain.

“Sebelum wabak ini tercetus, syarikat penerbangan merancang untuk meningkatkan kapasiti sebanyak sembilan peratus bagi perjalanan antarabangsa ke China dan dari negara itu untuk suku pertama 2020 berbanding 2019,” jelas ICAO dalam satu kenyataan.

Keadaan semasa menyebabkan pengurangan kapasiti penumpang penerbangan antarabangsa sebanyak 80 peratus.

ICAO memaklumkan, Jepun antara yang paling terkesan dengan pengurangan penumpang China bagi suku pertama. Negara itu mungkin kehilangan hasil pelancongan sebanyak AS$1.29 bilion, diikuti Thailand yang berpotensi kehilangan AS$1.15 bilion.

Jelas ICAO, kesan wabak COVID-19 terhadap industri penerbangan dijangka lebih besar berbanding wabak SARS pada 2002-2003 kerana pembatalan penerbangan adalah lebih banyak ketika ini.

Pihak berkuasa China mengkuarantin wilayah Hubei, pusat wabak itu, dan menghadkan pergerakan di beberapa bandar bagi mengekang penularan COVID-19.

Britain, Jerman, Amerika Syarikat, Jepun dan beberapa negara lain turut menasihatkan rakyatnya untuk tidak pergi ke China buat masa ini. - AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X