Sabtu, 15 Februari 2020 | 11:31am
VIDEO seorang pekerja restoran makanan segera mandi di sinki yang tersebar di internet.

Pekerja dipecat mandi di sinki restoran

GREENVILLE (CAROLINA SELATAN) : Seorang pekerja restoran makanan segera dipecat selepas video memaparkan beliau mandi di sinki tersebar luas di internet.

Dalam video berkenaan, lelaki terbabit dilihat berendam di dalam sinki bersama buih sabun melekat di bahagian bahu, manakala seorang lagi individu mencampakkan kain ke arahnya dan mengarahkan beliau untuk membersihkan diri.

Pekerja berkenaan kemudian mengelap dadanya, sebelum tertawa dan menyifatkan perbuatan dilakukan itu sebagai berendam di dalam kolam air panas.

“Saya hanya menikmati hidup, Encik,” katanya sambil tertawa.

Video itu juga menunjukkan beliau tidak berbaju, dengan kedua-dua lutut kelihatan jelas di permukaan air, namun tidak dapat dipastikan jika lelaki berkenaan sebenarnya berbogel.

Rakaman 23 saat itu dikongsi di Facebook dengan keterangan yang menggesa orang ramai untuk tidak lagi mengunjungi restoran terbabit.

“Jangan pergi lagi ke restoran Wendys di Greenville. Ia amat menjijikkan. Sila sebarkan perkara ini,” kata keterangan itu lagi.

Jurucakap Team Schostak iaitu syarikat pemilik Wendys, Christian Camp berkata, pekerja itu dipecat serta merta, sebaik sahaja mereka menyedari kewujudan video berkenaan.

“Perlakuan menjijikkan ini sama sekali tidak boleh diterima dan kami akan memastikan pelbagai langkah diambil supaya ia tidak berulang lagi,” tegasnya. - Agensi

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X