Sabtu, 15 Februari 2020 | 12:20pm
Penyelia County Los Angeles, Hilda Solis.

COVID-19 cetus diskriminasi

LOS ANGELES: Satu risalah dengan cap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang palsu di kawasan Carson, di sini, menggesa penduduk untuk mengelakkan perniagaan orang Asia-Amerika susulan penularan wabak COVID-19.

Seorang pelajar sekolah di Los Angeles pula dibelasah sehingga terpaksa dimasukkan ke wad hospital selepas pelajar lain mendakwa mangsa adalah seorang Asia-Amerika yang dijangkiti coronavirus.

Selain itu, lebih 14,000 orang menandatangani satu petisyen mendesak sekolah di kawasan Alhambra ditutup kerana risiko jangkitan virus terbabit walaupun hanya ada satu kes COVID-19 berlaku di County Los Angeles yang mempunyai 10.1 juta penduduk.

Demikian antara penipuan, serangan dan khabar angin didedahkan oleh pihak berkuasa Los Angeles pada Khamis, dalam usaha mereka untuk membanteras ketaasuban terhadap anti-Asia semakin meningkat di California yang mencatatkan lebih separuh daripada 15 kes coronavirus di Amerika Syarikat (AS).

Kejadian buli dan serangan terhadap orang Asia-Amerika dilaporkan berlaku dari New York hinggalah New Mexico, dicetuskan oleh ketakutan tidak berasas bahawa mereka berkait dengan virus yang berasal dari China itu.

Pihak berkuasa di California yang mempunyai populasi Asia-Amerika terbesar di AS, sedang bekerja keras mengatasi jenayah kebencian seumpama itu sebelum ia merebak dan berleluasa.

“Kita tidak akan menyokong kebencian,” kata Penyelia County Los Angeles, Hilda Solis, kepada pemberita sambil menggesa penduduk melaporkan jenayah melalui talian khas 211.

Prejudis sedia ada terhadap orang Asia digabungkan dengan imej media daripada China bagi mencetuskan ketakutan bahawa golongan Asia-Amerika lebih cenderung menjadi pembawa virus.

Ketua Suruhanjaya Perhubungan Manusia County Los Angeles, Robin Toma, berkata diskriminasi itu boleh menjadi semakin buruk sekiranya penularan virus berkenaan meningkat dalam masyarakat AS pada minggu dan bulan akan datang.

Topeng muka yang biasa dipakai oleh orang Asia untuk melindungi diri daripada jangkitan kuman atau mencegah penyebarannya, kini menyebabkan si pemakai diserang mahupun dicemuh kerana dikhuatiri menghidap COVID-19.

“Kami memerlukan anda ke depan dan bersuara apabila melihat kejadian sedemikian berlaku pada orang lain,” katanya.

Pereka cipta di bandar New York, Yiheng Yu, bertugas di pejabat dengan ramai rakan sekerjanya baru pulang dari China dan mereka memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga.

Dalam satu kejadian, beliau dijerkah oleh seorang wanita ketika memakai topeng muka di luar pejabatnya.

“Wanita itu menjerit ‘Adakah anda gila? Keluar dari sini’. Saya menyedari ia disebabkan saya sedang memakai topeng muka,” katanya. - REUTERS

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X