Jumaat, 21 Februari 2020 | 9:30pm
Trump ketika berucap kepada penyokongnya pada perhimpunan Keep America Great di Colorado Springs. - Foto AFP
Trump ketika berucap kepada penyokongnya pada perhimpunan Keep America Great di Colorado Springs. - Foto AFP

Trump cemuh Parasite menang Oscar

COLORADO SPRINGS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mencemuh kejayaan filem terbitan Korea Selatan, Parasite, memenangi Oscar Filem Terbaik pada Anugerah Akademi tahun ini.

Beliau turut mempertikaikan bagaimana filem asing itu dipilih sebagai filem terbaik pada edisi ke-92 acara anugerah perfileman berprestij itu.

“Mengapa begitu teruk Anugerah Oscar tahun ini? Soalnya yang dalam rangka lawatan ke seluruh AS sempena kempen pemilihan Presiden.

Ketika bertemu penyokongnya di Colorado, beliau meluahkan rasa kecewanya kerana filem dari Korea Selatan itu diangkat untuk memenangi anugerah Filem Terbaik.

“Selama ini kita mempunyai banyak masalah dan hal dagangan dengan Korea Selatan. Apa manfaatnya negara itu menang filem terbaik? Soal beliau kepada penyokongnya.

Mencipta rekod baharu dalam sejarah penganjuran Anugerah Akademi, filem Korea Selatan, Parasite meraih empat trofi termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Karya arahan Bong Joon-ho itu muncul filem bahasa asing pertama memenangi kategori Filem Terbaik, selain mengungguli dua kategori lain Filem Antarabangsa Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Parasite menewaskan filem Joker; Ford v Ferrari; Marriage Story; Jojo Rabbit; The Irishman; Little Women; 1917 dan Once Upon a Time.. In Hollywood.

Trump, presiden yang menang atas pentas Nasionalis Amerika Pertama, berkata sudah tiba masanya era kegemilangan filem klasik Hollywood dikembalikan. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X