Selasa, 25 Februari 2020 | 9:35am
UNITED Airlines Inc semalam menarik balik panduan penuhnya untuk tahun 2020. Foto REUTERS
UNITED Airlines Inc semalam menarik balik panduan penuhnya untuk tahun 2020. Foto REUTERS

COVID-19: United Airlines gantung panduan 2020

BENGALURU/CHICAGO: United Airlines Inc semalam menarik balik panduan penuhnya untuk tahun 2020, menyatakan bahawa ketidakpastian yang semakin meningkat mengenai bagaimana tempoh dan penyebaran COVID-19 ke kawasan lain boleh memberi kesan kepada keseluruhan permintaan perjalanan udara.

United yang berpangkalan di Chicago adalah syarikat penerbangan pertama Amerika Syarikat (AS) yang menggantung panduan 2020 berikutan wabak COVID-19, yang menyebabkan pasaran saham global jatuh semalam memandangkan banyak kes di luar tanah besar China mencetuskan kebimbangan terhadap penularan global.

Dalam maklumannya, syarikat itu mengekalkan unjurannya untuk suku pertama hasil penjimatan kos termasuk kos bahan api yang lebih rendah, dan mengatakan ia percaya mampu mencatatkan pertumbuhan pendapatan pada tahun 2021.

Syarikat itu juga berkata, jika virus berjaya ditamatkan pada pertengahan bulan Mei, dan corak perjalanan biasa di laluan trans-Pasifik kembali semula secara beransur-ansur dalam tempoh lima bulan, ia menjangkakan untuk mencapai unjuran pendapatan 2020 sebelum ini iaitu antara AS$11 (RM4.2) dan AS$13 (RM54.8) sesaham.

Permintaan jangka pendek ke China hampir tiada dan permintaan untuk keseluruhan laluan trans-Pasifiknya menurun sebanyak 75 peratus, kata United.

Syarikat penerbangan AS itu telah membatalkan sementara penerbangan ke China dan semalam sedang mempertimbangkan untuk memberikan pelepasan yuran perjalanan untuk penerbangan ke Itali, di mana kes COVID-19 meningkat mendadak pada hujung minggu lalu.

Dalam kalangan syarikat penerbangan AS, United adalah paling berisiko mengalami pengurangan jumlah penumpang ekoran kebimbangan terhadap virus berkenaan berikutan pendedahan antarabangsa yang lebih besar, kata penganalisis CFRA, Colin Scarola dalam nota kepada pelabur.

Kira-kira 40 peratus daripada pendapatan United dihasilkan daripada penerbangan antarabangsa, berbanding kurang 30 peratus untuk Delta Air Lines Inc dan American Airlines Group Inc dan hanya tiga peratus untuk Southwest Airlines Co, kata Scarola. - REUTERS

Saham United ditutup 3.3 peratus lebih rendah semalam, menjejaki kerugian syarikat penerbangan secara meluas. Sahamnya turun 0.6 peratus pada AS$75 dalam dagangan lanjutan.

Berita Harian X