Rabu, 11 March 2020 | 11:33am
GABENOR New York, Andrew Cuomo. - Foto AFP
GABENOR New York, Andrew Cuomo. - Foto AFP

New York guna khidmat Pengawal Nasional bendung COVID-19

NEW YORK: New York akan menggunakan khidmat Pengawal Nasional buat pertama kali dalam menangani penularan wabak COVID-19 di New York City, kata gabenor negeri, semalam.

Menurut Andrew Cuomo, pihak berkuasa akan mewujudkan ‘zon membendung penyakit’ dalam jarak 1.6 kilometer radius di sekitar pusat penyebaran iaitu New Rochelle di pinggir Westchester County.

Cuomo menjelaskan, semua kemudahan di zon berkenaan yang terbabit dalam menganjurkan sebarang perhimpunan seperti sekolah atau kuil, akan ditutup semalam dua minggu bermula esok.

“Kami akan menggunakan khidmat Pengawal Nasional di lokasi berkenaan untuk menghantar bekalan makanan ke rumah atau membantu membersihkan kawasan awam,” katanya.

Terdapat 173 kes positif COVID-19 di New York, termasuk 108 di Westchester County yang menempatkan New Rochelle, iaitu lokasi asal majoriti jangkitan berkenaan.

“Anda bukan mengurung penduduk, tetapi kemudahan yang ada. Ini adalah satu tindakan yang dramatik, namun kawasan ini juga ialah kluster terbesar. Ia benar-benar antara hidup dan mati,” katanya.

Sementara itu, seorang pemilik bar di New Rochelle, Miles Goldberg berkata, senario yang jarang berlaku itu menimbulkan ketakutan kepada penduduk setempat.

“Ia menjadikan orang ramai bimbang untuk berada di kalangan mereka, bimbang untuk menjalani kehidupan seharian dan bimbang terhadap semua perkara,” katanya. - AFP

Berita Harian X