Khamis, 19 March 2020 | 10:13am
Bolsonaro dikecam kerana sengaja membuka topeng muka, bahkan dilihat bersalaman dengan orang ramai dalam banyak acara kerajaan. - Foto AFP
Bolsonaro dikecam kerana sengaja membuka topeng muka, bahkan dilihat bersalaman dengan orang ramai dalam banyak acara kerajaan. - Foto AFP

'Histeria' wabak COVID-19 tak sepatutnya berlaku: Bolsonaro

BRASILIA: Presiden Brazil, Jair Bolsonaro menggesa rakyat di negara itu supaya kekal tenang dan tidak panik melampau susulan penularan COVID-19.

Bolsonaro berkata, fenomena digelarnya sebagai 'histeria' terhadap wabak COVID-19 tidak sepatutnya berlaku walaupun Brazil antara negara dunia yang turut terjejas berikutan jangkitan berkenaan.

Hal ini mengundang kritikan sesetengah pihak terhadap Bolsonaro yang dilihat tidak mengendahkan keselamatan dan kesihatannya dalam keadaan beliau turut berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Ini memandangkan tiga pemimpin utama negara itu iaitu Presiden Senat, Davi Alcolumbre, Menteri Tenaga dan Galian, Bento Albuquerque dan Menteri Keselamatan Negara, Augusto Heleno disahkan positif COVID-19.

Bolsonaro dikecam kerana sengaja membuka topeng muka, bahkan dilihat bersalaman dengan orang ramai dalam banyak acara kerajaan.

Menjawab kecaman itu, Bolsonaro berkata, reaksi tenang tidak bermakna beliau tidak prihatin pandemik COVID-19 yang mengorbankan lebih 8,700 penduduk dunia itu.

"Saya mahu menenangkan penduduk di sini...kita tidak boleh biarkan mereka menjadi histeria." katanya.

Sekurang-kurangnya 17 pemimpin kerajaan disahkan positif COVID-19 selepas mengikuti rombongan Bolsonaro dalam rangka lawatan ke Amerika Syarikat (US) untuk satu perjumpaan dengan Donald Trump pada bulan lalu.

Bagaimanapun, Bolsonaro dan Trump disahkan negatif daripada jangkitan COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X