X
Jumaat, 20 March 2020 | 1:21pm
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA).
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA).

COVID-19 jejas misi NASA kembali ke bulan

WASHINGTON: Pandemik COVID-19 mungkin menjejaskan perancangan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) yang berhasrat mengembalikan misinya ke bulan pada 2024.

Ia susulan penutupan dua kemudahan pelancar roketnya, semalam berikutan dua kakitangannya positif wabak itu.

Pentadbir NASA, Jim Bridenstine, berkata dua stesen di New Orleans dan Pusat Angkasa Stennis berdekatan Hancock County, Mississippi ditutup akibat peningkatan kes coronavirus.

“Kami sedar ia akan memberi kesan kepada misi NASA ketika pasukan bekerja keras menganalisis gambaran penuh dan mengurangkan risiko, namun keutamaan sekarang ialah keselamatan dan kesihatan tenaga kerja,” katanya.

Penutupan stesen pelancar roket itu adalah tindakan terkini NASA yang sedang membangunkan generasi roket akan datang, dipanggil Sistem Pelancaran Angkasa (SLS) dan kenderaan kru Orion serta misi manusia ke bulan dan planet Marikh.

Bridenstine bagaimanapun tidak mengulas sehingga bila penutupan itu namun mengakui pihaknya perlu ‘menggantung sementara pengeluaran dan pengujian Sistem Pelancaran Ruang dan perkakasan Orion.’

SLS diketuai kontraktor utama, Boeing Co dilaporkan sudah beberapa tahun mengalami kelewatan yang menelan kos sebanyak AS$2 bilion (RM8.8 bilion), kini terpaksa ditangguhkan lagi susulan COVID-19 ketika jurutera sedang bertungkus-lumus menyiapkan ujian peringkat pertama pelancaran roket dalam tanah pada musim panas ini.

Selasa lalu, semua 11 pusat NASA yang ditempatkan di Tahap 3 bagi pelan kontigensi, memerlukan kakitangan bekerja dari jauh kecuali mereka yang ditugaskan untuk projek misi penting, termasuk SLS.

Bagaimanapun dua stesen, iaitu Stennis NASA dan Kemudahan Perhimpunan Michoud semalam, dinaikkan kepada Tahap 4, tahap tertinggi yang memaksa penutupan sementara, selepas ada pekerja didiagnosis virus berkenaan.

Perintah penutupan itu dilihat mengendalakan misi NSA yang mahu mengembalikan angkasawan ke bulan pada 2024, iaitu batu loncatan untuk eksplorasi manusia ke planet Marikh.

Program Apollo Amerika Syarikat dipelopori NASA sudah melengkapkan misi enam dan misi yang pertama di dunia antara bulan 1969 dan 1972. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X