Khamis, 26 March 2020 | 4:25pm
Gambar foto ini dari keluarga Levinson di www.helpboblevinson.com menunjukkan imej 2007 bekas ejen FBI Bob Levinson. - Foto AFP
Gambar foto ini dari keluarga Levinson di www.helpboblevinson.com menunjukkan imej 2007 bekas ejen FBI Bob Levinson. - Foto AFP

Bekas ejen FBI dipercayai mati dalam tahanan Iran

WASHINGTON: Keluarga bekas ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Robert Levinson yang dilaporkan hilang pada Mac 2007 selepas mengunjungi sebuah pulau dikuasai Iran, percaya lelaki itu telah meninggal dunia dalam tahanan negara berkenaan.

Mereka dalam satu kenyataan, semalam, berkata ia adalah berdasarkan maklumat diterima daripada pegawai Amerika Syarikat (AS).

Semalam, Presiden Donald Trump memaklumkan, beliau tiada diberitahu bahawa Levinson meninggal dunia, namun menyifatkan perkara itu tidak kelihatan baik dan ramai menganggap lelaki itu sudah mati.

Penasihat Keselamatan Kebangsaan Rumah Putih, Robert O’Brien, dalam satu kenyataan selepas itu berkata: “Sementara siasatan sedang dijalankan, kami percaya Bob Levinson mungkin sudah meninggal dunia.”

O’Brien menegaskan, Iran mesti memberi maklumat lengkap mengenai apa yang berlaku terhadap Levinson sebelum AS boleh menerima sepenuhnya kejadian dalam kes itu.

Keluarga Levinson dalam satu paparan melalui Facebook dan sebuah laman web berkata: “Hari ini dengan hati yang duka, kami berkongsi berita menyedihkan mengenai ketua keluarga kami, Robert Levinson.

“Baru-baru ini, kami menerima maklumat daripada pegawai AS yang membawa kepada kesimpulan bahawa suami dan ayah kami meninggal dunia ketika dalam tahanan Iran. Kami tidak mengetahui bila dan bagaimana beliau mati, hanya tahu ia berlaku sebelum pandemik COVID-19.”

Malah, keluarga itu tidak tahu sama ada mayat Levinson akan dibawa pulang kepada mereka, sambil menyifatkan perkara berkenaan sebagai kejam.

Dalam pada itu, Trump menyifatkan Levinson sebagai ‘seorang lelaki budiman’ dan ‘cemerlang’.

Trump berkata, pihaknya bersimpati dengan keluarga Levinson, namun beliau tidak akan menerima bahawa dia sudah meninggal dunia.

“Mereka belum memberitahu kita bahawa dia sudah meninggal dunia tetapi ramai orang berfikiran sedemikian,” katanya.

Levinson dilaporkan hilang selepas terbang dari Dubai ke Pulau Kish pada Mac 2007 di mana beliau dikatakan bertemu Daoud Salahuddin, iaitu seorang militan Islam AS yang melarikan diri ke Iran ketika menghadapi pertuduhan membunuh seorang pegawai kedutaan Iran berpangkalan di Washington.

Menurut sumber, Levinson yang ketika itu bekerja sebagai penyiasat persendirian, sedang mencari maklumat mengenai dakwaan rasuah membabitkan bekas Presiden Iran, Akbar Hashemi Rafsanjani, dan keluarganya.

Beberapa bulan selepas kehilangannya, sumber Kerajaan AS mengakui bahawa sebelum ke Pulau Kish, Levinson ada berhubung dengan cawangan analisis Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Kerajaan Iran bagaimanapun tidak pernah mengakui secara terbuka mempunyai sebarang peranan dalam penculikan Levinson, walaupun ketika kehilangannya, sebuah media bersekutu dengan kerajaan menyiarkan berita bahawa beliau ‘berada dalam tangan pasukan keselamatan Iran’.

Hingga baru-baru ini, beberapa penyiasat AS percaya Levinson masih hidup, manakala pegawai di agensi AS yang lain pula percaya beliau telah meninggal dunia mungkin bertahun-tahun lalu. - REUTERS

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X