Rabu, 1 April 2020 | 2:45pm
PEKERJA menyediakan katil tambahan di Hospital Mount Sinai, New York. - Foto AFP
PEKERJA menyediakan katil tambahan di Hospital Mount Sinai, New York. - Foto AFP

COVID-19: Unjuran kematian di AS antara 100,000-240,000

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) berdepan dua unjuran senario angka korban akibat COVID-19 iaitu seramai 100,000 orang, tetapi jumlah boleh meningkat kepada 2.2 juta jika dalam keadaan terburuk.

Agensi berita Sputnik memetik data pakar dikeluarkan Rumah Putih hari ini melaporkan senario pertama membabitkan 'campur tangan' iaitu langkah oleh pihak berkuasa mengurangkan kesan buruk wabak berkenaan.

Dalam kes ini, kadar kematian adalah antara 100,000 hingga 240,000.

Andai tiada sebarang campur tangan, kadar kematian antara 1.5 juta hingga 2.2 juta.

Selain itu pakar meramalkan, kemuncak jumlah korban akibat COVID-19 di Amerika berlaku pada 15 April - dengan sejumlah 2,214 orang mungkin maut pada tarikh berkenaan.

Kemudian jumlah kematian akan berkurang sehingga 1 Jun dengan kira-kira 250 korban setiap hari dan kurang 100 pada 1 Julai.

Jumlah kematian di seluruh dunia akibat COVID-19, meningkat lebih 40,000 hari ini, dengan kes disahkan melebihi 823,000, menurut Johns Hopkins University.

Amerika Syarikat melaporkan kes paling tinggi - lebih 165,000 - dengan 3,178 kematian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac mengisytiharkan wabak itu sebagai pandemik. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X