Rabu, 8 April 2020 | 6:46am
Presiden AS, Donald Trump. FOTO AFP
Presiden AS, Donald Trump. FOTO AFP

COVID-19: Trump ugut potong dana kepada WHO

WASHINGTON: Presiden Donald Trump semalam mengugut untuk memotong pendanaan Amerika Syarikat (AS) kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ia susulan beliau mendakwa agensi antarabangsa itu berat sebelah terhadap China ketika pandemik COVID-19.

Bercakap kepada pemberita, Trump menegaskan, beliau akan ‘melakukan penahanan sangat berkuasa’ terhadap pendanaan kepada WHO.

AS adalah sumber pendanaan terbesar kepada WHO yang juga badan bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami akan menahan wang dibelanjakan kepada WHO,” kata Trump yang mendukung agenda ‘Dahulukan Amerika’ dan turut mengkritik agensi pelbagai hala serta PBB yang lain sebelum ini.

Bagaimanapun, Trump tidak memberikan maklumat lanjut mengenai jumlah wang yang akan ditahan dan beberapa minit kemudian pada sidang media sama, beliau berkata, “Saya tidak kata saya akan melakukannya.”

“Kami akan melihat pada menamatkan pendanaan,” tambahnya.

Trump mendakwa, WHO ‘dilihat terlalu berat sebelah terhadap China. Ia adalah tidak betul.”

Komen itu menyusuli kenyataan terdahulu beliau melalui Twitter yang menuduh WHO ‘sangat berpusatkan China’.

Trump juga ditanya mengenai tindakan WHO memberikan ‘saranan salah’ yang dilihat merujuk nasihat peringkat awal badan PBB itu menentang sekatan perjalanan antarabangsa bagi menghalang penularan virus tercetus dari China berkenaan.

“Mujur saya menolak nasihat mereka sebelum ini untuk membuka sempadan kita kepada China,” tulis Trump yang merujuk keputusannya menyekat perjalanan dari negara itu.

China berdepan kritikan di Washington, terutama daripada anggota Republikan, berhubung cara negara itu menangani pandemik berkenaan.

Malah, Trump menyuarakan keraguannya terhadap ketepatan statistik China mengenai jumlah kes jangkitan dan kematian di negara itu akibat COVID-19.

Bagaimanapun, Trump sendiri turut dikritik kerana memandang remeh wabak itu pada peringkat awal dengan menyifatkannya sebagai selesema biasa dan terkawal di AS, sebelum menerima hakikat bahawa ia adalah satu kecemasan negara.

Lebih 12,000 penduduk AS telah meninggal dunia akibat COVID-19, setakat ini. - AFP


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X