Rabu, 15 April 2020 | 2:09pm
Wilson Witzel (kanan) dan Helder Barbalho.
Wilson Witzel (kanan) dan Helder Barbalho.

Dua Gabenor Brazil positif COVID-19

RIO DE JANEIRO: Dua Gabenor Daerah Brazil yang sebelum ini mengkritik tindakan Presiden Jair Bolsonaro melonggarkan pelaksanaan penyekat penularan wabak COVID-19, disahkan positif.

Gabenor Wilson Witzel, 52, dari Rio de Janeiro dan Helder Barbalho, 40, bahagian utara Para, masing-masing memuat naik video di akaun Twitter memaklumkan keadaan kesihatan mereka dan meminta orang ramai supaya kekal di rumah bagi menentang penyebaran virus itu.

Witzel memberitahu beliau mula mengalami demam dan simptom sakit tekak serta hilang deria bau.

“Hari ini keputusan menunjukkan positif. Namun saya berasa lebih baik dan akan terus bekerja serta mengikuti nasihat doktor.

“Saya sekali lagi meminta orang ramai untuk kekal di rumah kerana seperti yang boleh anda lihat, ia berjangkit dengan cepat dan tiada siapa terkecuali,” katanya.

Barbalho turut menggesa orang ramai melakukan perkara yang sama.

“Virus ini mudah berjangkit, ia tidak mengenal usia atau kelas. Semua orang terdedah. Jadi tolong kekal di rumah,” katanya.

Sebelum ini, Bolsonaro menyerang polisi mengamalkan penjarakan sosial kerana menganggap tindakan itu menghancurkan ekonomi terbesar Amerika Latin itu serta membandingkan pandemik itu sebagai “selsema biasa”, katanya

Bagaimanapun, Witzel membalas tindakan Bolsonaro, yang dilihat sebagai melanggar garis panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Brazil antara negara Amerika Latin yang terus terkena COVID-19 selain merekodkan 1,532 kematian setakat ini. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X