Selasa, 21 April 2020 | 10:54am
Gambar fail Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA)
Gambar fail Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA)

COVID-19: 193 negara anggota UNGA meluluskan resolusi kedua

NEW YORK: Sebanyak 193 negara anggota Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) semalam meluluskan resolusi untuk akses secara ‘saksama, cekap dan tepat pada masanya’ ke atas sebarang vaksin bakal dibangunkan bagi memerangi COVID-19.

Resolusi diluluskan secara konsensus itu turut menekankan ‘peranan utama amat penting’ dimainkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang berdepan kritikan daripada Washington dan segelintir pihak lain dalam menangani pandemik berkenaan.

Resolusi dirangka Mexico dan mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS) itu juga menyeru pengukuhan kerjasama saintifik antarabangsa yang diperlukan untuk melawan COVID-19 serta peningkatan penyelarasan, termasuk dengan sektor swasta.

Makmal penyelidikan dan pengeluar farmaseutikal telah melancarkan usaha menelan perbelanjaan besar untuk membangunkan vaksin serta terapeutik lain yang kritikal bagi membasmi wabak itu.

Resolusi itu sekali gus meminta Setiausaha Agung, Antonio Guterres, untuk ‘mengenal pasti serta mengesyorkan pilihan, termasuk pendekatan bagi skala pengeluaran yang cepat dan mengukuhkan rantaian pembekalan yang menggalakkan serta memastikan akses secara adil, telus, saksama, cekap dan tepat pada masanya, ke atas pengagihan peralatan perlindungan, ujian makmal, bahan sokongan dan reagen, bekalan perubatan penting, diagnosis baharu, ubat-ubatan serta vaksin akan datang untuk COVID-19’.

Ia juga meminta agar langkah membangun dan kongsi rawatan serta vaksin sedemikian, mengambil kira ‘tujuan menjadikannya tersedia untuk semua yang memerlukan, terutama di negara membangun’.

Resolusi itu adalah yang kedua diluluskan oleh UNGA berhubung pandemik COVID-19.

Resolusi pertama yang diluluskan pada awal bulan ini turut menyeru kerjasama antarabangsa untuk memerangi penularan wabak itu.

Sementara itu, Majlis Keselamatan PBB pula belum mencapai persetujuan bagi dua resolusi dirangka - masing-masing satu dicadangkan oleh Tunisia dan Perancis - yang akan menyokong seruan Guterres pada bulan lalu untuk gencatan senjata ketika dunia bergelut dengan pandemik berkenaan.

Menurut sumber diplomatik, perwakilan Perancis dan Tunisia telah mula menggabungkan dua rangka resolusi terbabit.

Berbeza dengan Majlis Keselamatan PBB, resolusi diluluskan UNGA tidak ‘mengikat’ tetapi boleh mempunyai pengaruh politik yang penting.

Resolusi berkenaan diluluskan ketika negara di dunia mengambil tindakan yang kadang-kadang berbeza dalam usaha memerangi virus itu. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X