Jumaat, 24 April 2020 | 9:03am
Menteri Kesihatan Brazil, Nelson Teich. - FOTO AFP
Menteri Kesihatan Brazil, Nelson Teich. - FOTO AFP

COVID-19: Brazil rekod angka korban harian tertinggi

BRASÍLIA: Brazil merekodkan 407 kematian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu yang merupakan angka harian tertinggi sejak dilanda pandemik itu, kata Kementerian Kesihatan, semalam.

Menurut kementerian itu, Brazil yang memiliki bilangan penduduk paling padat di Amerika Latin serta negara ekonomi terbesar rantau berkenaan, kini mencatatkan 3,313 korban daripada sejumlah 49,492 kes jangkitan wabak berkenaan.

Jumlah itu terus meningkat ketika Presiden Jair Bolsonaro sering menunjukkan perasaan tidak sabar beliau terhadap sekatan yang dilaksanakan gabenor negeri bagi mengekang penularan penyakit berkenaan.

Namun Menteri Kesihatan, Nelson Teich yang mengambil alih jawatan itu selepas pemecatan kontroversi penyandang terdahulu, menegaskan adalah terlalu awal untuk mengaitkan peningkatan kes kematian itu dengan lonjakan jumlah jangkitan COVID-19.

Beliau berpendapat, ia berkemungkinan adalah hasil peningkatan saringan kesihatan yang dilakukan.

Rabu lalu, Teich memaklumkan bahawa pihak berkuasa sedang mengusahakan perancangan untuk memulakan semula aktiviti ekonomi, seiring kehendak Bolsonaro yang lantang mengkritik pelaksanaan langkah sekatan yang dilihat beliau sebagai melumpuhkan ekonomi.

Sao Paulo, negeri paling terjejas dengan mencatatkan satu per tiga daripada kes COVID-19 di negara ini, merancang untuk memulakan semula aktiviti ekonomi secara beransur-ansur membabitkan sektor demi sektor, mulai 11 Mei depan.

Rio de Janeiro dan negeri di bahagian tenggara, Minas Gerais, turut membuat persediaan serupa, manakala Brasilia serta Santa Catarina sudah memulakan semula aktiviti tertentu. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X