Sabtu, 25 April 2020 | 2:15pm
Menteri Keadilan dan Keselamatan Brazil, Sergio Moro. - FOTO AFP
Menteri Keadilan dan Keselamatan Brazil, Sergio Moro. - FOTO AFP

Menteri Keadilan dan Keselamatan Brazil letak jawatan

BRASÍLIA: Menteri Keadilan dan Keselamatan Brazil, Sergio Moro, meletakkan jawatan, semalam, selepas tidak bersetuju dengan Presiden Jair Bolsonaro berhubung pemecatan ketua polis persekutuan.

Moro yang juga bekas hakim pencegahan rasuah, menyelar 'campur tangan politik' didakwa berlaku dalam polis persekutuan, sambil menegaskan beliau tidak dapat menjalankan tugas tanpa 'autonomi' untuk pasukan itu.

Berita berkenaan mencetuskan kegelisahan dalam pasaran sehingga menjejaskan bursa saham Sao Paulo, iaitu yang terbesar di Amerika Latin.

"Saya akan mengemas barang dan menghantar surat peletakan jawatan," kata Moro, 47, ketika berucap panjang di Brasilia di mana beliau menuduh Bolsonaro memungkiri janji 'carte blanche' (berhubung kuasa penuh untuk bertindak).

Susulan itu, Bolsonaro menyerang kembali Moro dengan mendakwa beliau didorong oleh 'ego' dan membuat 'tuduhan tidak berasas'.

Presiden itu juga mendakwa, beliau telah memaklumkan kepada beberapa Ahli Parlimen sebelum Moro mengumumkan peletakan jawatannya.

"Hari ini, anda akan melihat seorang yang komited kepada diri dan egonya tetapi bukan kepada Brazil," kata Bolsonaro.

Moro meletakkan jawatan selepas Bolsonaro memecat ketua polis persekutuan, Mauricio Valeixo yang juga sekutu rapat Moro.

Bolsonaro kemudian melantik Ketua Agensi Perisikan Brazil, Alexandre Ramagem, sebagai pengganti.

"Pertukaran ketua polis persekutuan tanpa alasan tulen adalah campur tangan politik yang merosakkan kredibiliti saya dan kerajaan," kata Moro.

Moro mendakwa, Bolsonaro memberitahunya bahawa Valeixo digantikan dengan seseorang yang Presiden itu mempunyai 'kontak peribadi dan beliau boleh hubungi untuk meminta maklumat, laporan risikan'.

"Memberikan maklumat seperti ini bukan tugas polis persekutuan," katanya sambil mendesak siasatan bebas dilakukan. - AFP

Berita Harian X