Rabu, 29 April 2020 | 11:46am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Cadangan penggunaan pasport imuniti COVID-19 terus diperdebatkan

WASHINGTON: Kerajaan dan organisasi di seluruh dunia sedang menimbangkan penggunaan 'pasport imuniti' yang menjadi perdebatan hangat ketika ini, bertujuan melonggarkan perintah berkurung dan kawalan pergerakan akibat pandemik COVID-19.

Dokumen berkenaan boleh mengenal pasti individu yang memiliki antibodi dan mengurangkan risiko penyebaran virus, sekali gus membantu mereka meneruskan aktiviti dan kembali bekerja.

Pihak berkuasa kesihatan global dan pakar bagaimanapun memberi amaran, dan meraih perhatian berhubung ketepatan ujian antibodi, selain kebimbangan mengenai privasi serta kemungkinan untuk ia disalah guna.

Penyokong idea itu berkata, individu yang layak memperoleh pasport berkenaan boleh menerima sijil elektronik yang dipaparkan seperti pas masuk telefon pintar atau di atas kertas.

"Jika situasi ini berterusan selama enam bulan atau sembilan bulan, atau terdapat gelombang kedua, anda boleh rumuskan bahawa orang ramai mahu meninggalkan kediaman masing-masing.

"Perlu ada satu mekanisme khusus dalam mengesahkan antibodi seseorang individu. Pasport imuniti ini jika berkesan sepenuhnya, akan membantu orang ramai lebih patuh untuk duduk di rumah," kata Ketua Eksekutif syarikat identiti digital Onfido, Husayn Kassai.

Onfido yang berbincang bersama kerajaan British dan pihak berkuasa lain berkata, imuniti itu akan ditentukan berpandukan kit ujian sendiri yang sama seperti kit ujian kehamilan dan disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan.

Ia akan memancarkan warna hijau untuk yang memiliki antibodi sepenuhnya, ambar untuk separuh antibodi dan merah untuk golongan berisiko tinggi.

Menurut Kassai, keputusan berkenaan boleh diubah suai kepada bentuk pangkalan data jika diperlukan.

Syarikat berpangkalan di Britain, Bizagi pula membangunkan 'CoronaPass' untuk menyaring pekerja, tetapi Ketua Eksekutifnya, Gustavo Gomes berkata, ia boleh membantu orang ramai kembali menjalankan aktiviti masing-masing.

Syarikat Perancis Socios pula membangunkan pas imuniti khusus untuk acara sukan bagi membolehkan peserta atau peminat yang berisiko rendah atau sifar risiko menghadiri mana-mana acara. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X