Sabtu, 2 Mei 2020 | 3:22pm
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro. - FOTO AFP
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro. - FOTO AFP

COVID-19: Komen 'So what?' cetus kemarahan ramai

RIO DE JANEIRO: Hanya dua patah perkataan sudah cukup untuk mencetuskan kontroversi di Brazil.

"So what? (Jadi?)" kata Presiden Jair Bolsonaro, Selasa lalu, ketika ditanya wartawan berhubung kematian lebih 5,000 rakyat Brazil akibat pandemik COVID-19.

Komen pemimpin itu sekali gus menimbulkan kemarahan ramai, dengan gabenor, ahli politik, profesional penjagaan kesihatan dan anggota media menyuarakan kemarahan masing-masing terhadap beliau yang disifatkan sebagai kurang empati.

Bolsonaro tidak asing lagi dengan kontroversi, namun kenyataan beliau yang terbaru itu mencetuskan kemarahan besar kerana pandemik COVID-19 di Brazil masih belum berjaya dikawal.

Setakat ini, lebih 91,000 kes disahkan di Brazil tetapi saintis memberi amaran bahawa jumlah sebenar mungkin 15 atau 20 kali ganda lebih tinggi.

Dengan jumlah kematian mencecah 6,300 mangsa, negara gergasi Amerika Selatan itu berdepan malapetaka, sama seperti senario dialami Itali atau Amerika Syarikat (AS).

"Jadi? Saya minta maaf. Apa yang anda mahu saya lakukan?" kata Bolsonaro, Selasa lalu, apabila ditanya mengenai kadar kematian di negara ini yang melepasi 5,000 mangsa, iaitu lebih tinggi berbanding China.

Malah, Bolsonaro berseloroh bahawa walaupun nama tengahnya ialah Messias atau Messiah, beliau tidak boleh melakukan keajaiban.

Gabenor Rio de Janeiro, Wilson Witzel, menyifatkan kenyataan Presiden itu sebagai langsung tidak boleh diterima. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X