Isnin, 4 Mei 2020 | 7:23am
PERDANA Menteri Kanada, Justin Trudeau. - Foto AFP
PERDANA Menteri Kanada, Justin Trudeau. - Foto AFP

Kanada labur RM730.6 juta untuk kesihatan mental

OTTAWA: Kanada akan membangunkan kemudahan peralatan penjagaan maya dan kesihatan mental bernilai sebanyak AS$170 juta (RM730.6 juta) bagi dimanfaat penduduknya yang terkesan berikutan pandemik COVID-19.

Perdana Menterinya, Justin Trudeau, berkata pelaburan itu akan digunakan sepenuhnya untuk membangunkan platform digital baharu dan peralatan bertujuan membolehkan penduduknya menguruskan stres atau mendapat sokongan kesihatan mental daripada bantuan profesional.

"Selain itu, ia bertujuan memperkukuhkan platform penjagaan kesihatan mental di alam maya dalam usaha menghentikan penyebaran virus yang membunuh kira-kira 3,750 kematian dan mengakibatkan hampir 60,000 kematian di Kanada.

"Ini sekali gus memudahkan doktor menetapkan temujanji dalam talian, sementara pesakit kekal duduk dalam rumah ketika mendapatkan rawatan di mana hospital dapat terus memberikan tumpuan merawat mereka yang memerlukan," katanya pada sidang media hariannya, semalam.

Katanya, kemudahan itu relevan pada masa sekarang.

"Jika kita boleh menggunakan aplikasi untuk memesan makan malam dan panggilan video untuk kekal berinteraksi dengan keluarga, kini dengan teknologi kita dapat memastikan setiap orang kekal sihat," katanya.

Bagi sesetengah wilayah di Kanada termasuk yang paling terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 iaitu Ontario dan Quebec, bandar itu sudah mengumumkan pelan kembali bekerja dan akan membuka semula sekolah dalam beberapa minggu ini.

Pihak berkuasa Kesihatannya berkata, langkah itu optimis berikutan keadaan wabak sudah semakin terkawal. -AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X