Isnin, 4 Mei 2020 | 8:57am
PRESIDEN Brazil, Jair Bolsonaro. - Foto AFP
PRESIDEN Brazil, Jair Bolsonaro. - Foto AFP

Perintah berkurung di Brazil, ramai hilang pekerjaan

BRASILIA: Presiden Brazil, Jair Bolsonaro menentang pelaksanaan langkah ketat perintah berkurung negara itu, biarpun lebih 100,000 kes dan 7,000 kematian akibat COVID-19.

Semalam, Bolsonaro menyuarakan penentangan itu di hadapan ribuan penunjuk perasaan yang mahu negara itu menamatkan perintah berkurung.

Beliau juga terus menyalahkan gabenor tempatan yang meneruskan pelaksanaan perintah berkurung, dalam ucapannya di luar perkarangan kediaman presidennya, di Brasilia.

"Kehilangan ribuan pekerjaan ini disebabkan sikap tidak bertanggungjawab gabenor dan hal ini sangat tidak diterima.

"Kerajaan akan menanggung kerugian besar akibat tindakan ini pada masa akan datang," katanya dalam ucapan yang disiarkan dalam siaran langsung Facebook.

Beliau berulang kali mengulangi tidak bersetuju pendapat gabenor negeri yang mahu melaksanakan peraturan itu dengan ketat yang disifatkan berlebihan dan mengakibatkan kesan buruk kepada ekonomi.

Sehingga semalam, Brazil mencatatkan 101,147 kes seperti data yang dikeluarkan kementerian kesihatannya dengan 275 kematian dalam tempoh 24 jam lalu.

Sementara itu, pakar berpendapat bilangan kes sebenar mungkin 12 hingga 15 kali lebih tinggi berdasarkan kes yang tidak dikesan memandangkan kekurangan kit ujian saringan berbanding jumlah penduduknya seramai 210 juta orang.

Demonstrasi di Brasilia itu menarik lebih ramai penunjuk perasaan berbanding protes seumpamanya beberapa minggu lalu dengan ramai membawa sepanduk mengkritik Bolsonaro, Timbalan Ketua Dewan Menteri, Rodrigo Maia dan bekas Menteri Kesihatan Brazil, Sergio Moro yang meletak jawatan minggu lalu, sambil menuntut tentera untuk campur tangan.

"Rakyat bersama kami dan tentera berada di sisi undang-undang, ketertiban, kebebasan dan demokrasi," kata Bolsonaro kepada kumpulan penunjuk perasaan.

Akhbar harian terbesar Brazil, Estado de Sao Paulo memaparkan gambar jurugambar dan pemandu diserang penunjuk perasaan di laman webnya, di mana mangsa ditolak dan ditendang.

Bertentangan dengan demonstrasi yang ada kehadirannya, baru-baru ini presiden sayap kanan itu yang tidak memakai topeng muka atau menjaga jarak sekitar dua meter daripada penyokong terdekatnya selepas berucap di luar perkarangan kediaman presiden.

Bagaimanapun, beliau menolak untuk membenarkan penyokong untuk menyertainya berselfie dengan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun, Laura.

Pakar menjangkakan wabak itu merebak dengan cepat ke Amerika Selatan dan menjadikan semakin parah dengan virus itu akan memuncak untuk beberapa minggu lagi.

Minggu lalu, Rio de Janeiro melanjutkan perintah duduk di rumah hingga 11 Mei, sekali gus mengetepikan gesaan Bolsonaro agar pihak berkuasa tempatan dan negeri membenarkan kembali warga Brazil untuk kembali bekerja. -AFP

Berita Harian X