Selasa, 5 Mei 2020 | 9:21am
Jururawat, Vanda Ortega, 32, (kanan) membuat pemeriksaan kesihatan di Parque das Tribos, Brazil. - Foto AFP
Jururawat, Vanda Ortega, 32, (kanan) membuat pemeriksaan kesihatan di Parque das Tribos, Brazil. - Foto AFP

COVID-19: Orang Asli mohon dana kecemasan daripada WHO

BRASILIA: Pemimpin pribumi Brazil memohon dana kecemasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sedunia (WHO) bagi melindungi komunitinya daripada pandemik COVID-19.

Menurut organisasi melindungi orang asli, APIB, setakat ini angka kematian membabitkan pribumi itu meningkat kepada 18 orang.

Bagaimanapun kerajaan secara rasmi hanya melaporkan enam kematian membabitkan pribumi itu.

Semalam, wanita daripada komuniti Orang Rasmi pertama yang dilantik menganggotai Kongres Brazil, Joenia Wapichana, berkata keperluan dana sangat mendesak.

"Ini adalah keadaan darurat yang sebenar. Masyarakat Orang Asli kini terdedah dan memerlukan perlindungan segera.

Katanya, Presiden Brazil, Jair Bolsonaro tidak menyenaraikan dana khusus untuk etniknya dalam pelan kebangsaan bagi menentang virus itu.

Bagaimana Menteri Kesihatan yang baru dilantik, Nelson Teich, mengatakan melindungi Orang Asli adalah menjadi keutamaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Agensi Hal Ehwal Pribumi Kerajaan FUNAI menghentikan mubaligh Kristian daripada mengkristiankan suku terpencil itu ketika ini bagi mengelakkan penularan wabak.

Sebilangan besar daripada 850,000 Orang Asli Brazil tinggal di kawasan terpencil di Amazon bagaimanapun dilaporkan mempunyai akses yang terbatas terhadap penjagaan kesihatan.

Wapichana berkata, organisasi pribumi di Brazil juga sudah mengirimkan surat kepada Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, bagi memohon bantuan penyediaan peralatan pelindung diri yang tidak tersedia untuk pekerja kesihatan di penempatan suku dan kampung.

Rayuan itu disusuli surat terbuka yang dikirimkan oleh puluhan seniman, pemuzik dan pelakon antarabangsa pada kelmarin kepada Bolsonaro yang meminta beliau melindungi Orang Asli Brazil.

Mereka termasuk pelukis Ai Weiwei dan David Hockney; pemuzik Sting dan Paul McCartney; pelakon Glenn Close dan Sylvester Stallone serta pembikin filem dan hos siri televisyen Oprah Winfrey.

Surat itu memberi amaran bahawa 'ancaman ekstrem' yang dihadapi oleh penduduk asli di Brazil semakin meruncing apabila pencerobohan tanah suku yang dilindungi oleh pembalak haram dan pengembala haiwan ternakan.

"Kegiatan terlarang ini semakin berleluasa sejak beberapa minggu ini berikutan pihak berkuasa Brazil yang bertanggungjawab untuk melindungi tanah pencerobohan tanah itu terpaksa menumpukan usaha memulihkan negara daripada wabak pandemik itu. - Agensi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X