Selasa, 5 Mei 2020 | 11:16am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: Amerika tak beri bukti virus daripada makmal Wuhan

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam, mengatakan Washington tidak memberikan bukti bagi menyokong spekulasi Presiden Amerika Syarikat (AS) bahawa COVID-19 itu berpunca daripada makmal China.

Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan, berkata pihaknya belum menerima data atau bukti khusus dari AS berhubung dakwaannya asal usul virus itu.

"Justeru daripada perspektif kami, ini tetap dakwaan spekulatif," katanya pada taklimat maya, semalam.

Saintis percaya virus yang membunuh itu berpunca dari haiwan dan menjangkiti manusia pada awal kemunculannya di Wuhan, China pada akhir tahun lalu, berkemungkinan dari pasar hidupan liar yang menjual haiwan eksotik.

Bagaimanapun Presiden AS, Donald Trump, semakin mengkritik cara pengendalian China terhadap wabak pada awal kemunculan, dengan mendakwa mempunyai bukti virus itu bermula di makmal Wuhan.

Turut menyokong dakwaan itu, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, kelmarin mengatakan mempunyai 'bukti besar' bagaimanapun, dinafikan dengan tegas oleh China.

"Sekiranya bukti itu berteraskan organisasi, kami terbuka untuk memerlukan apa saja maklumat yang menunjukkan punca virus itu, " kata Ryan lagi.

Beliau menegaskan, maklumat kesihatan awam yang sangat penting untuk pengendalian pada masa depan.

"Sekiranya data dan bukti itu sudah ada, AS seharusnya menentukan bila dan bagaimana untuk berkongsi maklumat, kerana tanpanya sukar untuk WHO untuk menyiasat kesahihan dakwaan itu, katanya.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghadapi kritikan hebat daripada Trump yang mendakwa organisasi itu tidak mengambil serius terhadap wabak itu berikutan mahu melindungi China, dengan berulang kali mengatakan ia virus semula jadi daripada sumber haiwan.

Semalam, Pakar WHO, Maria Van Kerkhove menekankan terdapat kira-kira 15,000 urutan genom penuh dari coronavirus, dan 'daripada semua bukti yang sudah dilihat, virus itu berpunca daripada sumber semula jadi'.

Biarpun coronavirus umumnya berasal daripada kelawar, kedua-dua mereka menekankan pentingnya mengetahui bagaimana virus yang menyebabkan COVID-19 boleh menjangkiti manusia dan apa haiwan yang berfungsi sebagai 'perantara' sepanjang pemindahan itu.

"Kita perlu memahami lanjut mengenai asal semula jadi itu terutama berhubung haiwan perantaraan itu," kata Ryan.

Minggu lalu, WHO mahu China menjemputnya untuk turut sama dalam penyiasatan negara itu mengenai asal usul wabak itu, yang beberapa bulan ini mengorbankan lebih 250,000 orang di seluruh dunia.

Katanya, sains perlu menjadi asas kepada bukti saintifik.

"Sekiranya kita memiliki penyelidikan berdasarkan sains dan penyelidikan berdasarkan sains mengenai spesies asal dan spesies perantaraan, maka itu akan memberi manfaat kepada semua orang di dunia ini," katanya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X