Ahad, 10 Mei 2020 | 9:28am
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau

PM Kanada risau situasi di Montreal

MONTREAL: Perdana Menteri, Justin Trudeau pada Sabtu, menyuarakan kebimbangan mengenai tindakan melonggarkan arahan perintah berkurung di bandar raya ini yang juga epicenter pandemik COVID-19 di Kanada.

"Kita perlu pastikan kita membuat tindakan secara progresif, perlahan dan bertahap bagi sebarang usaha membuka semula arahan perintah berkurung.

"Sudah tentu, kita bimbang dan risau," katanya.

Ketika beberapa wilayah di negara itu termasuk Quebec bersedia untuk melonggarkan arahan dan membuka semula ekonomi, Trudeau menegaskan bahawa negara itu masih belum keluar daripada bahaya pandemik COVID-19.

"Fokus kita ketika ini adalah mengenal pasti bahawa kita bukan lagi pada fasa pemulihan. Kita masih belum juga lagi untuk masuk ke fasa pembukaan semula, sebaliknya masih di fasa kecemasan.

"Kita kena sentiasa berhati-hati, mengambil langkah satu demi satu adalah perkara yang paling penting," katanya.

Wilayah Quebec paling teruk terjejas di Kanada dengan merekodkan lebih separuh daripada jumlah keseluruhan iaitu 67,000 kes dan 4,700 kematian.

Bagi bandar raya Montreal dan sekitarnya, peningkatan kes jangkitan COVID-19 dilaporkan di rumah penjagaan warga emas.

Pihak berkuasa Quebec, pada Khamis menangguhkan pembukaan semula sekolah dan premis perniagaan buat kali kedua kepada 25 Mei ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X