Selasa, 12 Mei 2020 | 11:34am
TRUMP hadkan kontak dengan Pence (kiri). (Foto/Agensi)
TRUMP hadkan kontak dengan Pence (kiri). (Foto/Agensi)

Trump sahkan naib presidennya negatif COVID-19

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam mengesahkan Mike Pence didapati negatif COVID-19, tetapi beliau mungkin akan mengehadkan kontak dengan Naib Presidennya itu.

Trump turut mencadangkan supaya Pence menjalani tempoh kuarantin selepas setiausaha akhbarnya, Katie Miller disahkan positif, walaupun ia tidak dimaklumkan secara jelas.

"Saya boleh katakan Pence dan saya akan berbincang mengenai hal ini.

"Ketika tempoh kuarantin, kami mungkin akan bercakap melalui telefon. Saya juga belum berjumpa dengannya," katanya kepada pemberita di Rumah Putih.

Menurut Trump, walaupun ujian COVID-19 mendapati Pence negatif, tetapi beliau mempunyai kontak dengan ramai orang.

Penularan wabak coronavirus yang pertama dalam kalangan kumpulan terdekat presiden Amerika dikesan beberapa hari lalu selepas Miller disahkan positif COVID-19.

Selain Miller, salah seorang anggota tentera Amerika yang juga pembantu peribadi kepada Trump turut disahkan positif wabak pandemik itu.

Isnin lalu, Rumah Putih mengeluarkan memo yang mengarahkan kesemua kakitangannya memakai pelitup muka apabila memasuki West Wing, kecuali apabila berada di meja masing-masing.

Sementara itu, jurucakap Pence, Devin O'Malley menafikan laporan media bahawa Naib Presiden itu sedang dikuarantin.

"Pence akan terus mengikuti nasihat unit perubatan Rumah Putih dan tidak dikuarantin.

"Pence menjalani saringan COVID-19 setiap hari dan didapati negatif daripada wabak itu," katanya. –AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X