Rabu, 13 Mei 2020 | 8:41pm
Amerika Latin bersedia hadapi kemuncak pandemik COVID-19. - Foto AFP
Amerika Latin bersedia hadapi kemuncak pandemik COVID-19. - Foto AFP

Amerika Latin bersedia hadapi kemuncak pandemik COVID-19

MEXICO CITY: Negara Amerika Latin bersiap siaga dengan penguatkuasaan langkah penjarakan sosial lebih ketat dan mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan bagi menghadapi kemuncak pandemik COVID-19 bulan ini, lapor agensi berita Xinhua.

Kementerian Kesihatan Chile semalam melaporkan 1,658 kes baharu COVID-19 dan 12 lagi kematian dalam tempoh 24 jam, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 31,721 kes positif serta 335 kematian.

Daripada angka kes baharu itu, 1,479 pesakit menunjukkan gejala manakala 179 lagi tidak bergejala.

Sehubungan itu, kerajaan Chile memperluaskan perintah berkurung di 30 penempatan masyarakat, kebanyakannya di ibu negara, Santiago dan bandar lain dalam usaha mengekang penularan virus pada masa akan datang.

Kementerian Pertahanan Chile pula menegaskan, pihak polis dan tentera akan menguatkuasa penjarakan sosial secara mandatori termasuk mengenakan penalti lebih berat terhadap mereka yang ingkar.

Negara itu juga memperkenalkan tempoh masa berkurung pada sebelah malam selain menutup sempadan dan menutup sementara sekolah serta perniagaan tidak perlu.

Di Cuba, , agensi berita tempatan melaporkan, terdapat 21 kes baharu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 1,804 kes positif dengan 78 kematian.

Sementara itu, wabak denggi juga dijangka kembali pada bulan akan datang, menyebabkan negara kepulauan itu terpaksa bergelut dengan dua musuh paling kuat.

Di Ecuador, sama seperti Brazil dan Peru, menjadi antara negara paling teruk terjejas di benua Amerika Latin apabila merekodkan 2,327 kematian dan 30,419 jangkitan COVID-19 termasuk 182 kematian serta 910 jangkitan baharu dalam 24 jam.

Brazil pula merekodkan angka kematian paling tinggi dalam tempoh sehari dengan 881 meninggal dunia, menjadikan jumlah keseluruhan yang maut di negara itu meningkat kepada 12,400 orang.

Dalam tempoh 24 jam, 9,258 kes jangkitan baharu disahkan di Brazil, meningkatkan jumlah keseluruhan kepada 177,589 kes.

Kawasan paling teruk terjejas di Brazil adalah Sao Paulo, yang setakat ini merekodkan 3,949 kematian dan 47,719 jangkitan.

Minggu lalu, beberapa wilayah di negara itu menguatkuasakan perintah berkurung untuk mengekang penularan pandemik itu termasuk melarang akses dengan hanya membenarkan penduduk setempat saja di kawasan tertentu.

Bandar kedua terbesar di Brazil, Rio de Janeiro, turut menjadi yang kedua paling terjejas dengan penularan COVID-19 selepas Sao Paulo.

Datuk Bandar Rio de Janeiro, Marcelo Crivella, mengarahkan sekatan akses terhadap sepuluh kawasan masyarakat dan melarang kedai beroperasi terutama di kawasan yang sesak.

Sebagai langkah persediaan, kerajaan negeri Rio de Janeiro membuka khemah hospital bergerak keempat untuk merawat pesakit COVID-19.

Di Belo Horizonte, Datuk Bandarnya, Alexandre Kalil mengumumkan bahawa 13 pusat pemeriksaan akan didirikan di pintu masuk bandar, bertujuan memeriksa kemasukan kenderaan dan penumpang.

Peru mengenalpasti 3,237 kes jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam, sekali gus menyumbang kepada peningkatan keseluruhan 72,059 kes positif dengan 2,057 kematian selepas 96 lagi pesakit meninggal dunia akibat penyakit itu.

Menteri Kesihatannya, Victor Zamora, berkata rakyat Perlu perlu sentiasa peka dan waspada dengan mengamalkan penjarakan sosial sebagai perlindungan diri.

"Tidak ada apa yang mengganggu kita daripada matlamat untuk membanteras wabak epidemik ini," katanya.

Di Mexico, Presidennya, Andres Manuel Lopez Obrador, berkata kerajaannya bercadang melonggarkan langkah kawalan COVID-19 selepas ia dijangka mencapai puncak minggu ini.

"Berdasarkan pandangan pakar, kita jangka pengurangan kadar jangkitan akan bermula dalam masa terdekat dan kita bercadang melonggarkan langkah kawalan secara beransur-ansur.

"Bagaimanapun, sekiranya jangkitan terus meningkat, maka kerajaan akan melaksanakan kembali langkah kawalan mengikut keperluan dan keadaan semasa," katanya. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X