Jumaat, 22 Mei 2020 | 7:27am
DONALD Trump. (Foto/AFP)
DONALD Trump. (Foto/AFP)

COVID-19: Trump mahu vaksin diberikan dahulu kepada rakyat AS

WASHINGTON: Ketika pemimpin China, Perancis, Jerman dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sepakat mahu memanfaatkan apa saja vaksin yang berjaya ditemui merawat COVID-19 sebagai 'kepentingan awam global', Presiden Amerika Syarikat (AS) berpendirian sebaliknya, mahu vaksin diberi secara tunggal kepada rakyatnya terlebih dahulu.

Di sebalik prinsip 'kepentingan awam global' itu, ia membawakan dua isu berbeza, iaitu hak harta intelek dan pengedaran dos pertama.

Presiden Amerika Selatan, Cyril Ramaphosa berkata negaranya mahu vaksin COVID-19 dikecualikan daripada sebarang paten, namun ia bertentangan dengan usaha keras syarikat membangunkan vaksin yang berbelanja berbilion dolar.

Malah, syarikat terbabit juga bergantung sokongan daripada AS yang mana bertentangan dengan setiap cabaran terhadap hak harta intelek antarabangsa dan mereka mengulangi pendirian itu kepada WHO, pada minggu ini.

Justeru, vaksin itu tidak mungkin diberikan percuma, sedangkan beberapa syarikat sudah komited memberikannya dengan sejumlah kos.

Profesor Kesihatan Awam di Universiti Georgetown, Matthew Kavanagh, berkata vaksin dengan kos tertentu adalah perkara relatif seperti ubat untuk HIV yang dibangunkan satu ketika dahulu.

"Bagaimanapun, pengeluar ubat generik kemudian mendapati kos sebenar mereka adalah lebih kurang daripada satu per sepuluh, menunjukkan ada kelonggaran bagaimana harga ditentukan," katanya.

Bekas pegawai saintis di Merck Vaccines, Mark Feinberg, yang ketika ini Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) International AIDS Vaccine Initiative, berkata makmal farmaseutikal sudah mempelajari sesuatu bagaimana menjana keuntungan ketika tragedi, jika tidak akan menjejaskan reputasi dan keuntungan mereka.

Katanya, usaha mempatenkan akan dikongsikan selepas vaksin selesai dibangunkan, namun pengeluaran ubat tunggal itu tidak dihasilkan dengan mencukupi untuk menampung permintaan dunia dan memerlukan kerjasama daripada syarikat pengeluaran lain dan negara pertama boleh mendapat vaksin itu menjadi persoalan.

Namun Presiden AS, Donald Trump bersungguh mahu mengembalikan ekonomi negaranya berikutan ia sedang melobi dirinya untuk pemilihan semula November depan, dilihat kurang memberikan perhatian terhadap solidariti antarabangsa.

Matlamatnya, mahu mendapatkan 300 juta vaksin yang hanya boleh didapati seawal Januari tahun depan yang dikatakan mencukupi untuk seluruh rakyatnya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X