Sabtu, 23 Mei 2020 | 6:11pm
Mira Kwon menjadi sukarelawan membantu golongan warga tua di Los Angeles ketika pandemik COVID-19. - FOTO AFP
Mira Kwon menjadi sukarelawan membantu golongan warga tua di Los Angeles ketika pandemik COVID-19. - FOTO AFP

COVID-19: Remaja jadi sukarelawan bantu warga tua

LOS ANGELES: Sekumpulan remaja di sekitar Los Angeles menjadi sukarelawan untuk membantu warga tua membeli barangan runcit ketika pandemik COVID-19, sekali gus menimba iktibar kehidupan.

"Pengalaman ini sungguh hebat. Ia mendidik saya dalam banyak cara," kata Mira Kwon, 16.

Kwon menjadi sukarelawan 'Zoomers to Boomers' - perkhidmatan yang mula diperkenalkan di California susulan penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan perintah berkurung.

Perkhidmatan itu kini berkembang ke lebih sedozen bandar raya di seluruh negara.

Ketika ini, Kwon mengetuai sebuah pasukan terdiri daripada kira-kira 40 pelajar yang terpaksa mengikuti pembelajaran secara dalam talian akibat pandemik itu.

Idea perkhidmatan itu adalah mudah: warga tua atau golongan imunokompromi menyerahkan senarai kepada anggota terbabit yang kemudian akan membantu membeli dan menghantar barangan runcit berkenaan.

"Pada mulanya, saya amat bimbang kerana perlu menghubungi pihak peniaga," kata Kwon yang mengetuai perkhidmatan di Koreatown.

Walaupun banyak perniagaan enggan bekerjasama, Kwon berkata, beliau akhirnya berjaya menemui beberapa kedai yang berminat.

Selain kepuasan membantu golongan memerlukan, Kwon berkata, inisiatif itu turut membantu pembinaan keyakinan dan hubungan dengan orang ramai. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X