X
Ahad, 24 Mei 2020 | 5:02pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Jenayah siber meningkat ketika pandemik COVID-19 - PBB

NEW YORK: Ketua perlucutan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengingatkan bahawa jenayah siber meningkat 600 peratus, membabitkan e-mel berniat jahat ketika pandemik COVID-19.

Izumi Nakamitsu, memaklumkan perkara itu dalam satu mesyuarat tidak rasmi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai kesan krisis COVID-19 yang mempengaruhi peningkatan inovasi teknologi dan kerjasama dalam talian.

"Terdapat juga laporan mengenai kebimbangan serangan siber terhadap pertubuhan penjagaan kesihatan dan kemudahan penyelidikan perubatan seluruh dunia," katanya.

Tambah beliau, perkembangan kebergantungan digital meningkatkan risiko serangan siber dan serangan seumpamanya diunjurkan berlaku setiap 39 saat.

Memetik data Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa, beliau berkata hampir 90 negara masih lagi pada peringkat awal untuk membuat komitmen terhadap keselamatan siber.

Tegas Nakamitsu, ancaman berpunca daripada salahguna teknologi komunikasi maklumat (ICT) adalah serius dan perlu ditangani segera.

Namun, katanya, ada juga berita baik berikutan usaha PBB untuk menangani ancaman itu menerusi sekumpulan pakar kerajaan bagi menyelaras 11 pematuhan tidak wajib supaya setiap negara bertanggungjawab ketika menggunakan ICT.

Perdana Menteri Estonia, Juri Ratas, selaku Presiden UNSC pada sesi ini yang menganjurkan mesyuarat Jumaat lalu, berkata keperluan untuk ruang siber yang selamat dan berfungsi kini mendesak berbanding sebelumnya.

Beliau mengutuk serangan siber menyasarkan hospital, kemudahan penyelidikan perubatan dan lain-lain infrastruktur, terutama ketika pandemik.

Russia tidak menyertai mesyuarat tidak rasmi yang berlangsung secara maya itu, di mana 14 negara anggota lain menyertainya, dengan kira-kira 50 wakil negara lain berucap.

Misi PBB Russia, dalam satu kenyataan berkata ia tidak hadir kerana Estonia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) mencabuli amalan sedia ada di mana semua negara anggota UNSC perlu menyertai mesyuarat, tidak kira sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan isu yang dibincangkan.

Tiga negara terbabit tidak hadir dalam mesyuarat tidak rasmi tajaan Russia sebelum ini mengenai Crimea pada Khamis lalu kerana membantah tindakan Russia merampas wilayah Crimea dari Ukraine.

Pada Mac lalu, AS, UK dan Estonia mendakwa perisik tentera Russia merancang serangan siber ke atas kerajaan dan laman sesawang media di Georgia.

Serangan itu disifatkan sebagai operasi siber berterusan secara melulu oleh Russia terhadap sejumlah negara, yang jelas bercanggah dengan dakwaan Russia bahawa ia adalah negara yang bertanggungjawab dalam dunia siber.

Estonia pernah menjadi sasaran serangan siber besar-besaran selama tiga minggu ketika dalam konflik dengan Russia pada 2007, berhubung pengalihan tugu peringatan perang 'Bronze Soldier Soviet' dari ibu negara Estonia, Tallinn.

Serangan itu melumpuhkan laman sesawang kementerian kerajaan, parti politik, surat khabar, bank dan syarikat.

Ekoran itu, Estonia membangunkan pertahanan sibernya sehingga menjadi salah satu negara dengan tahap liputan internet tertinggi di Eropah selain menjadi perintis pembangunan e-kerajaan.

Russia membawa isu jenayah siber ke PBB dan mendapat kelulusan Perhimpunan Agung pada Disember lalu untuk satu resolusi bagi memulakan proses menghasilkan deraf perjanjian antarabangsa melawan jenayah siber, yang dibantah Kesatuan Eropah (EU), AS dan negara lain.

Pejabat Perwakilan Russia ke PBB berkata, antara kandungan ucapan yang akan disampaikan pada mesyuarat terbabit adalah mengenai hakikat yang terpaksa diakui dunia sekarang iaitu sama ada mahukan keamanan siber atau perang siber global.

Menurut Russia, pandemik COVID-19 membawa perubahan ketara dalam kehidupan umum dan menunjukkan bahawa kebergantungan dunia terhadap ICT adalah di luar jangkaan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X