Isnin, 25 Mei 2020 | 11:33am
Gambar fail menunjukkan Trump menerima jersey pasukan bola sepak kebangsaan Brazil daripada Bolsonaro ketika bertemu di Rumah Putih Mac tahun lalu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan Trump menerima jersey pasukan bola sepak kebangsaan Brazil daripada Bolsonaro ketika bertemu di Rumah Putih Mac tahun lalu. - Foto AFP

AS sekat perjalanan dari Brazil, lokasi baharu kes COVID-19

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Ahad, menguatkuasakan sekatan perjalanan dari Brazil yang kini dikenal pasti lokasi utama baharu penularan pandemik COVID-19.

Setiausaha akhbar Rumah Putih, Kayleigh McEnany, berkata bukan warga Amerika yang berada di Brazil dalam tempoh 14 hari tidak akan dibenarkan memasuki AS jika ada permohonan daripada mereka.

Bagaimanapun katanya, aktiviti perdagangan tidak akan terjejas dengan penguatkuasaan sekatan baharu itu.

"Langkah ini akan membantu memastikan warga asing yang berada di Brazil tidak menyumbang jangkitan tambahan di AS," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan lebih daripada 360,000 kes dilaporkan, Brazil kini negara kedua tertinggi dunia selepas AS dengan mencatatkan lebih daripada 22,000 kematian.

Presiden Brazil, Jair Bolsonaro sekutu politik Trump dan mempunyai persamaan sikap Trump hingga diberi jolokan 'Trump Tropika' mengatakan COVID-19 hanya selesema biasa dan perintah berkurung hanya merugikan ekonomi terbesar Amerika Latin.

Keputusan Trump itu disifatkan sebagai prosedur operasi standard.

"Keputusan itu seperti pendekatan yang diambil sebelum ini yang menangguhkan perjalanan dari negara yang dijangkiti COVID-19 termasuk China, Iran, United Kingdom dan Ireland serta zon Schengen Kesatuan Eropah," kata kenyataan kementerian luar negerinya.

Malah, Brazil sendiri menghalang orang luar memasuki negaranya berikutan wabak itu. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X