Jumaat, 29 Mei 2020 | 12:24pm
Penggali kubur berpakaian perlindungan diri menyusun keranda di Tanah Perkuburan Awam Duque de Caxias di Rio de Janeiro, Brazil. - Foto AFP
Penggali kubur berpakaian perlindungan diri menyusun keranda di Tanah Perkuburan Awam Duque de Caxias di Rio de Janeiro, Brazil. - Foto AFP

1,156 maut, 438,238 jangkitan COVID-19 di Brazil dalam 24 jam

BRASILIA: Brazil mencatat rekod baharu kes COVID-19 apabila lebih 1,000 mangsa dilaporkan maut dalam tempoh 24 jam, berdasarkan rekod rasmi semalam.

Negara Amerika Selatan itu kini negara kedua paling terjejas di dunia akibat virus itu selepas Amerika Syarikat (AS) dengan 438,238 kes jangkitan.

Menurut data Kementerian Kesihatan, 26,417 kes baharu disahkan dalam tempoh 24 jam berakhir lewat Khamis lalu.

Dalam tempoh sama, Brazil merekodkan 1,156 orang maut, yang juga kematian harian ketiga tertinggi sejak pandemik itu bermula, menjadikan jumlah keseluruhan 26,754 kematian setakat ini iaitu yang keenam tertinggi di dunia.

Namun, pakar berpendapat angka sebenar jangkitan dan kematian akibat virus itu mungkin 15 kali ganda lebih tinggi kerana ujian tidak dilakukan secara meluas.

Pada masa sama, virus itu terus merebak dengan pihak berkuasa tempatan dan kerajaan persekutuan masih berbalah mengenai dasar kesihatan.

Kebanyakan negeri melaksanakan perintah berkurung berkala tetapi Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, mahukan ia ditamatkan sama sekali dan ekonomi dibuka kembali. - AFP

Berita Harian X