Selasa, 2 Jun 2020 | 6:38am
 Penunjuk perasaan di Lafayette Square berdekatan Rumah Putih di Washington, DC. - Foto AFP
Penunjuk perasaan di Lafayette Square berdekatan Rumah Putih di Washington, DC. - Foto AFP

Bedah siasat bebas sahkan Floyd mati akibat lemas

MINNEAPOLIS: Satu bedah siasat yang diatur keluarga mendiang George Floyd mendapati mangsa dilemaskan oleh seorang anggota polis Amerika Syarikat (AS), berbeza dengan punca didakwa pihak berkuasa sebelum ini, iaitu masalah berkaitan jantung.

Peguam keluarga itu, Ben Crump pada Isnin berkata, bedah siasat bebas oleh pemeriksa perubatan pada Ahad mendapati, kematian Floyd berpunca akibat lemas, yang disebabkan oleh tekanan pada bahagian tertentu.

Pengarah Autopsi dan Sains Forensik di Universiti Michigan, Aleccia Wilson, berkata beliau memeriksa mayat mendiang Floyd.

"Bukti yang diperoleh adalah kematian itu konsisten dengan lemas buatan, dan kes ini dianggap sebagai pembunuhan," katanya pada sidang media.

Floyd, 46 meninggal dunia pada 27 Mei, selepas bahagian lehernya ditekan menggunakan lutut selama sembilan minit, oleh seorang anggota polis.

Beliau didapati berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selama hampir tiga minit.

Satu visual dirakam seorang pejalan kaki yang tersebar selepas itu menimbulkan kemarahan seluruh negara, dan mencetuskan tunjuk perasaan di lebih 140 bandar di AS.

Anggota polis terbabit, Derek Chauvin ditahan Jumaat lalu dan didakwa dengan kesalahan membunuh darjah ketiga atau membunuh tanpa niat, berdasarkan laporan awal bedah siasat yang mengesahkan bahawa mangsa mati bukan akibat lemas, tetapi kerana masalah berkaitan jantung.

Susulan kejadian, keluarga Floyd mendesak Chauvin didakwa dengan tuduhan membunuh darjah pertama, manakala tiga lagi anggota polis yang turut berada di lokasi, ditahan dan dituduh bersubahat. - AFP

Berita Harian X