Khamis, 4 Jun 2020 | 8:15am
Ketua peguam Minnesota, Keith Ellison hadir ke mahkamah untuk mengumumkan tuduhan membunuh dikenakan terhadap pegawai polis yang terbabit dalam pembunuhan George Floyd. Foto AFP
Ketua peguam Minnesota, Keith Ellison hadir ke mahkamah untuk mengumumkan tuduhan membunuh dikenakan terhadap pegawai polis yang terbabit dalam pembunuhan George Floyd. Foto AFP

4 pegawai polis dikenakan tuduhan membunuh George Floyd

MINNEAPOLIS: Tiga pegawai polis didakwa semalam atas pembabitan dalam kes pembunuhan seorang lelaki berkulit hitam, yang mencetuskan bantahan besar-besaran seluruh negara, manakala tuduhan lebih serius dikenakan ke atas suspek utama.

Pendakwa Minnesota mengumumkan tuduhan membunuh darjah ketiga Jumaat lalu ke atas Derek Chauvin, 44, iaitu pegawai polis kulit putih yang menekan leher George Floyd menggunakan lututnya selama hampir sembilan minit.

Menurut pendakwa, mereka akan mengubah pertuduhan kepada membunuh darjah kedua yang menyamai tuduhan pembunuhan, dan membawa kepada hukuman lebih keras.

"Saya percaya bukti yang ada membolehkan tuduhan lebih berat dikenakan iaitu pembunuhan kelas kedua.

"Kita berada di sini hari ini kerana George Floyd tidak berada bersama kita. Beliau patut berada di sini hari ini dan masih bernyawa. Malangnya ia tidak berlaku," kata ketua peguam Minnesota, Keith Ellison.

Tiga lagi rakan Chauvin di lokasi dalam insiden 25 Mei itu ditahan atas tuduhan bersubahat.

Tou Thao, 34, J Alexander Kueng, 26 dan Thomas Lane, 37 didakwa atas tuduhan membantu dan bersubahat melakukan pembunuhan darjah kedua.

Penahanan kesemua pegawai berkenaan didorong desakan orang ramai yang mengadakan bantahan besar-besaran di seluruh negara, sejak sembilan hari lalu, bagi mengutuk keganasan polis dan keadilan untuk isu perkauman. - AFP

Berita Harian X