Selasa, 9 Jun 2020 | 8:18am
 Lakaran dalam Mahkamah Daerah Hennepin yang mengenakan ikat jamin AS$1 juta terhadap anggota polis, Derek Chauvin yang dituduh membunuh lelaki Afrika-Amerika, George Floyd. - AFP
Lakaran dalam Mahkamah Daerah Hennepin yang mengenakan ikat jamin AS$1 juta terhadap anggota polis, Derek Chauvin yang dituduh membunuh lelaki Afrika-Amerika, George Floyd. - AFP

Ikat jamin polis bunuh George Floyd AS$1 juta

MINNEAPOLIS: Mahkamah menetapkan ikat jamin AS$1 juta (RM4.26 juta) terhadap anggota polis yang dituduh menyebabkan kematian seorang lelaki Afrika-Amerika, George Floyd.

Derek Chauvin, anggota polis yang dirakamkan menekan lututnya di leher Floyd selama hampir sembilan minit, membuat penampilan pertama di mahkamah, hari ini.

Chauvin, 44, muncul melalui video dari penjara negeri Minnesota untuk menghadapi tuduhan pembunuhan darjah kedua, pembunuhan darjah ketiga dan pembunuhan.

Tiada pengakuan direkodkan daripadanya dan Hakim Mahkamah Daerah Hennepin menetapkan jaminannya sebanyak AS$1 juta dengan syarat atau AS$1.25 juta (RM5.32 juta) tanpa syarat.

Hakim menetapkan syarat iaitu perlu menyerahkan senjata api, tidak bekerja dalam penguatkuasaan undang-undang atau keamanan dalam apa pun kemampuannya, dan tidak memiliki kontak dengan keluarga Floyd.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama puluhan tahun jika disabitkan kesalahan.

Tiga anggota polis yang lain muncul di mahkamah minggu lalu untuk menghadapi tuduhan membantu dan bersubahat dengan pembunuhan Floyd kerana peranan mereka dalam penangkapannya.

Keempat-empat mereka sudah dipecat daripada perkhidmatan polis.

Di Washington, penggubal undang-undang Demokrat melutut sebagai memperingati kematian Floyd sebelum melancarkan reformasi polis sebagai tindak balas terhadap pembunuhan orang kulit hitam Amerika yang tidak bersenjata oleh penguat kuasa undang-undang.

Langkah itu berlaku sehari selepas Majlis Perbandaran Minneapolis memilih untuk merombak dan membangunkan semula jabatan polis di bandar di mana Floyd yang berusia 46 tahun meninggal dalam penangkapan pada 25 Mei.

Di Houston, tempat Floyd dibesarkan, ribuan orang yang berkabung menunggu dengan sabar untuk memberi penghormatan terakhir.

Semua orang yang berkabung diwajibkan memakai topeng kerana wabak coronavirus.

"Ini menyatukan kita sebagai sebuah negara," kata Kevin Sherrod, 41, yang ditemani oleh isteri dan dua anak lelaki mereka yang berusia lapan dan sembilan tahun.

"Berada di sini dengan anak lelaki saya sangat bermakna," tambah Sherrod.

"Ini adalah masa dalam sejarah dan mereka akan ingat mereka adalah sebahagian daripada itu."

Calon presiden dari Parti Demokrat, Joe Biden terbang ke Houston pada Isnin untuk bertemu secara peribadi dengan anggota keluarga Floyd. - AFP

Berita Harian X