Selasa, 9 Jun 2020 | 10:53am
 Orang ramai melihat mural George Floyd di Houston, Texas. - AFP
Orang ramai melihat mural George Floyd di Houston, Texas. - AFP

George Floyd disemadi hari ini

HOUSTON: Lelaki Afrika-Amerika, George Floyd yang dibunuh pegawai polis berkulit putih, akhir bulan lalu akan disemadikan pada Selasa di tempat asalnya di Houston.

Floyd, 46, yang mati pada 25 Mei lalu di Minneapolis dan akan disemadikan bersebelahan kubur ibunya, Larcenia kini diangkat sebagai ikon global perjuangan menentang perkauman dan kekejaman polis.

Dengan ketinggian 1.93 meter, Floyd yang dikenali dalam kalangan keluarga dan rakan sebagai 'gergasi baik' ialah seorang penyanyi rap dan atlet yang berdepan tindakan undang-undang serta ketagihan, namun hanya mahukan yang terbaik untuk anaknya.

Floyd bersama ibunya, berpindah ke Houston sebaik pemuda itu dilahirkan di Carolina Utara pada 1973 sebelum dibesarkan di kawasan di kenali sebagai wad ketiga, iaitu sebuah kejiranan miskin yang didominasi Afrika-Amerika.

Adik Floyd, Philonise ketika ditemui pada majlis peringatan minggu lalu di Minneapolis berkata, abangnya itu sangat hebat ketika beraksi di padang bola selain cemerlang dalam sukan bola keranjang, dan kemudian bermain sukan terakhirnya itu ketika menjejakkan kaki ke kolej.

"Dia adalah raksasa ketika beraksi di gelanggang namun apabila di luar ketika berbicara dengan orang, dia seperti gergasi yang lembut... dia banyak mengajar bagaimana menjadi seorang manusia kerana dia sudah merasai asam garam dunia sebelum kami," katanya.

Sesi pengebumian George Floyd di Fountain of Praise di Houston. - Foto AFP
Sesi pengebumian George Floyd di Fountain of Praise di Houston. - Foto AFP

Guru kelasnya, Waynel Sexton pula mendedahkan bahawa ketika berusia tujuh tahun, Floyd pernah mengimpikan untuk menjadi Hakim Mahkamah Agung, malah ketika bersekolah di Jake Yates High School, pemuda itu memainkan peranan sebagai abang kepada pelajar lelaki lain.

Floyd yang berhenti dari kolej untuk membantu keluarganya, menyertai dunia hip-hop di Houston dengan nama komersial, 'Big Floyd' dan menikmati beberapa kejayaan sebelum ditahan beberapa kali oleh polis akibat kesalahan mengedar dadah dan mencuri.

Media tempatan melaporkan bahawa Floyd pernah menjalani hukuman penjara pada awal 2000 atas kesalahan mencuri senjata sebelum terbabit dalam kegiatan keagamaan di sebuah gereja di tempat dia dibesarkan sebaik sahaja dibebaskan dengan menggunakan kemasyhuran bintang bola keranjang, Lebron James untuk menarik anak muda mengikuti jejak langkahnya.

Floyd kemudiannya berpindah ke Minneapolis pada 2014 dan menjadi pemandu trak untuk sebuah organisasi keagamaan sebelum bekerja sebagai penjaga bar bagi menanggung ibu dan anak perempuannya berusia enam tahun namun diberhentikan susulan penutupan premis itu akibat COVID-19.

Insiden kematian Floyd terjadi ketika dia baharu sahaja membeli rokok dengan wang palsu berjumlah AS$20 (RM85) dan mengambil fentanyl sebelum polis menekan lututnya di leher pemuda itu.

Kata-kata akhir Floyd iaitu 'saya tidak boleh bernafas' bersama gambarnya 'diangkat' di seluruh dunia bersama tuntutan warga Afrika-Amerika supaya mengakhiri penindasan perkauman dan kekejaman polis. - AFP

Berita Harian X