Isnin, 29 Jun 2020 | 6:33pm
Penunjuk perasaan dalam protes terhadap Presiden Brazil, Jair Bolsonaro memberi penghormatan terhadap mangsa yang meninggal dunia akibat COVID-19. - Foto AFP
Penunjuk perasaan dalam protes terhadap Presiden Brazil, Jair Bolsonaro memberi penghormatan terhadap mangsa yang meninggal dunia akibat COVID-19. - Foto AFP

Brazil rekod jangkitan COVID-19 tertinggi mingguan

RIO DE JANEIRO: Brazil melalui minggu terburuk berkaitan COVID-19 selepas mencatat 259,105 jangkitan dalam tempoh tujuh hari sehingga semalam, menurut kementerian kesihatannya.

Negara itu juga melaporkan jumlah kematian mingguan kedua tertinggi, dengan 7,005 orang meninggal dunia, rendah sedikit berbanding 7,285 kematian yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Brazil, negara dengan jumlah jangkitan dan kematian kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat (AS), bersungguh-sungguh mengatur strategi untuk menangani pandemik itu.

Gesaan terbaru muncul menerusi tunjuk perasaan di kebanyakan bandar di seluruh negara dan penunjuk perasaan di Stockholm, London dan Barcelona yang mengadakan demonstrasi terhadap Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, berkaitan pengurusan krisis kesihatan itu.

Pemimpin itu memandang remeh terhadap ancaman virus, dengan menyifatkannya sebagai 'masalah selesema yang kecil', menentang tindakan pihak berkuasa supaya tinggal di rumah dan garis panduan penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka di ibu kota, Brasilia.

Di pantai Copacabana di Rio de Janeiro, polis tentera yang memegang perisai rusuhan menggunakan belantan untuk bertindak balas terhadap demonstrasi di bawah slogan 'Hentikan Bolsonaro' dan juga bagi hari Gay Pride dan menentang rasisme.

Reaksi polis yang bertindak keras terhadap sekumpulan sekitar 200 orang telah menarik lebih ramai kumpulan protes, sambil berteriak 'Keluar, Bolsonaro!'.

Di Brasilia, penunjuk perasaan meletakkan 1,000 salib di rumput untuk memberi penghormatan kepada mangsa COVID-19, sambil membawa sepanduk bertulis 'Bolsonaro, berhenti menafikan!.

"Brazil berdepan penderitaan yang luar biasa, keperitan dalam menghadapi jumlah kematian yang luar biasa disebabkan COVID-19," kata penganjur dalam satu kenyataan.

Pakar berkata, jumlah sebenar jangkitan dan kematian di Brazil mungkin jauh lebih tinggi berbanding angka rasmi yang dilaporkan.

Kementerian kesihatan minggu ini memulakan langkah untuk menguji semua kes COVID-19 yang disyaki dalam sistem kesihatan awam, namun masih berdepan masalah bagi negara dihuni 212 juta orang itu.

Biarpun jangkitan ini masih belum dikawal sepenuhnya, beberapa pihak berkuasa tempatan terus berusaha membuka kembali ekonomi mereka.

Rio, bandar kedua yang merekodkan angka jangkitan tinggi selepas Sao Paulo, membenarkan kedai dibuka dan perlawanan bola sepak disambung semula, bahkan merancang membenarkan peminat ke stadium mulai 10 Julai ini. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X