Rabu, 1 Julai 2020 | 10:39am
Presiden AS, Donald Trump. - Foto AFP
Presiden AS, Donald Trump. - Foto AFP

COVID-19: Trump semakin marah terhadap China

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, hari ini berkata beliau semakin marah dengan China berhubung penularan COVID-19.

Krisis virus kini semakin buruk di AS sehingga pegawai perubatan mengakui mereka tidak dapat mengawal pandemik itu.

Trump, dalam ciapan di twitter, berkata: "Melihat pandemik ini merebak di serata dunia termasuk kemusnahan besar dialami di AS, saya semakin marah terhadap China".

Tambah beliau, China bertanggungjawab terhadap pandemik global itu dan dakwaan terbabit mengeruhkan lagi hubungan kedua-dua negara yang sememangnya tegang akibat perang perdagangan.

Ketika kes COVID-19 meningkat ketara di AS terutama di selatan dan barat, pakar penyakit berjangkit, Anthony Fauci, memberitahu Kongres bahawa semua tindakan yang diambil tidak betul dan ternyata keadaan kini di luar kawalan.

Beliau juga memberi amaran bahawa kes boleh meningkat sehingga purata 100,000 kes sehari jika pihak berkuasa dan orang ramai gagal mengambil langkah mengekang pendemik itu.

China pula menuduh pentadbiran Trump cuba mempolitikkan pandemik bagi mengalihkan pandangan daripada kegagalan mereka mengendalikan krisis itu, dengan AS selaku negara paling terjejas di dunia akibat COVID-19. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X