Khamis, 9 Julai 2020 | 1:59pm
 Farmasi Walgreens di Minneapolis, Minnesota didirikan sementara di kawasan parkir selepas premis itu dimusnahkan dalam tunjuk perasaan susulan kematian George Floyd. - Foto AFP
Farmasi Walgreens di Minneapolis, Minnesota didirikan sementara di kawasan parkir selepas premis itu dimusnahkan dalam tunjuk perasaan susulan kematian George Floyd. - Foto AFP

Bukti terbaharu dakwa Floyd kononnya alami klaustrofobik

WASHINGTON: Bukti terbaharu menunjukkan George Floyd mengadu tidak boleh bernafas lebih 20 kali, menyebut nama mendiang ibu dan anaknya serta berkata, beliau akan 'dibunuh' seorang anggota polis, sebelum akhirnya mangsa benar-benar maut ketika ditahan di Minneapolis.

Floyd, seorang lelaki kulit hitam, meninggal dunia pada 25 Mei apabila lehernya ditekan menggunakan lutut, oleh seorang polis kulit putih selama hampir enam minit.

Kematiannya mencetuskan bantahan besar-besaran terhadap sistem perkauman dan keganasan polis di Amerika Syarikat, serta mendorong aktiviti sama diadakan di negara lain seluruh dunia.

Video kematian beliau turut tular di media sosial, memaparkan bagaimana Floyd memaklumkan tidak boleh bernafas sambil memanggil nama ibunya.

Namun satu lagi transkrip video yang difailkan di mahkamah negeri Minnesota Selasa lalu oleh Thomas Lane, mendedahkan maklumat terbaharu berhubung detik akhir mendiang.

Ketika Floyd ditahan, beliau dikatakan merayu kepada anggota polis terbabit, untuk tidak dimasukkan ke dalam kereta peronda, kerana memiliki klaustrofobik dan berada dalam tekanan.

Transkrip berkenaan mendakwa, Floyd memberitahu mengalami kesukaran bernafas apabila dipaksa masuk ke dalam kenderaan berkenaan.

Transkrip berkenaan difailkan Selasa lalu sebagai cubaan Lane untuk mengetepikan tuduhan bersubahat yang dikenakan ke atasnya sebelum ini, susulan kematian Floyd di tangan Derek Chauvin.

Chauvin dikenakan tuduhan membunuh darjah kedua dan ketiga, manakala Lane, Tou Thao dan Alexander Kueng masing-masing didakwa kerana bersubahat.

Keempat-empat anggota polis itu dipecat, tidak lama selepas insiden terbabit. - AFP

Berita Harian X