Sabtu, 11 Julai 2020 | 6:59pm

Bantuan kepada Syria: PBB gagal capai konsensus

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) semalam gagal capai konsensus berhubung bantuan kemanusiaan rentas sempadan kepada Syria selepas Russia dan China gunakan kuasa veto bagi membantahnya.

Tanpa kata putus, kebenaran untuk pengangkutan bantuan yang diberikan sejak 2014 ke negara dilanda perang itu berakhir tengah malam tadi.

Bagaimanapun, Jerman dan Belgium sedang mengusahakan inisiatif terakhir bagi menyelamatkan usaha itu, dengan harapan untuk membawanya kepada pengundian hujung minggu ini.

Duta Jerman ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Christoph Heusgen, berkata pihaknya sedia bekerja sepenuh masa dan meminta negara lain memikirkan kesengsaraan jutaan penduduk Syria.

"Mereka sedang menanti keputusan UNSC dengan penuh harapan sama ada bantuan bakal tiba atau mereka akan terus kelaparan," katanya yang memegang giliran jawatan presiden UNSC bulan ini.

Selepas Russia dan China menggunakan kuasa veto untuk kali kedua minggu ini, hanya tiga negara menyokong cadangan Russia untuk mengurangkan jumlah lokasi transit bantuan daripada dua pintu masuk kepada satu.

China menyokong Russia, namun tujuh negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis, Jerman dan Belgium mengundi menentang, manakala empat lagi berkecuali.

Badan bukan kerajaan (NGO) Oxfam memberi amaran bahawa menghentikan bantuan rentas sempadan akan 'membawa kesengsaraan kepada jutaan keluarga Syria' yang perlukan air bersih, makanan, rawatan kesihatan dan tempat tinggal.

Sejumlah 13 negara mengundi menyokong deraf awal Jerman-Belgium, manakala Russia dan China menentang lanjutan itu kerana mereka memilih cadangan untuk mengehadkan penyaluran bantuan.

Kebenaran PBB membolehkan badan itu mengagihkan bantuan kepada penduduk Syria yang kehilangan tempat tinggal, tanpa memerlukan keizinan daripada Damsyik.

Russia dan China berpandangan kebenaran PBB itu melanggar kedaulatan Syria kerana bantuan itu dapat terus disalurkan melalui pihak berkuasa Syria.

Cadangan terbaru Russia, yang mahu bantuan berterusan untuk wilayah pemberontak Idlib dengan hanya menggunakan pintu masuk Bab al-Hawa saja untuk tempoh setahun.

Russia mendakwa lebih 85 peratus bantuan ketika ini adalah melalui Bab al-Hawa dan satu lagi pintu masuk, Bab al-Salam, boleh ditutup.

Menurut Duta Besar Washington ke PBB, Kelly Craft, tindakan membuka hanya satu pintu sempadan akan menghentikan bantuan kemanusiaan kepada 1.3 juta orang yang tinggal di utara Aleppo. - AFP

Berita Harian X