X
Selasa, 14 Julai 2020 | 11:10am
(Gambar fail) Pelakon, Naya Rivera. - FOTO AFP
(Gambar fail) Pelakon, Naya Rivera. - FOTO AFP

Mayat pelakon Naya Rivera ditemui dalam tasik - Polis

LOS ANGELES: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) semalam menemui mayat pelakon siri 'Glee', Naya Rivera, dalam sebuah tasik di California di mana mangsa dilaporkan lemas ketika trip bot bersama anak lelakinya yang berusia empat tahun pada minggu lalu.

Sheriff County Ventura, Bill Ayub, berkata mayat Rivera telah dibawa keluar dari Tasik Piru, dan hasil pemeriksaan awal mendapati tiada penemuan sebarang bukti membabitkan unsur jenayah mahupun bunuh diri.

"Kami yakin bahawa mayat ditemui adalah Naya Rivera," katanya pada sidang media sambil merujuk kepada lokasi, penampilan, pakaian dan keadaan mayat itu.

Walaupun tiada kes orang hilang lain dilaporkan di tasik itu, Ayub berkata, mayat mangsa tetap dibawa ke pejabat pemeriksa perubatan untuk bedah siasat penuh dan pengesahan identiti Rivera berdasarkan rekod pergigian.

Rivera, 33, dipercayai lemas selepas menyewa bot itu bersama anaknya di kawasan tumpuan perkhemahan dan rekreasi yang mengambil masa kira-kira sejam pemanduan dari barat laut Los Angeles.

Pelakon itu dilaporkan hilang sejak tengah hari Rabu lalu, dan operasi mencari secara besar-besaran dilancar membabitkan penyelam, bot peronda serta helikopter selepas anak mangsa ditemui sedang tidur sendirian dalam bot yang hanyut di tasik berkenaan.

Ayub berkata, kanak-kanak itu kemudian memberitahu penyiasat bahawa Rivera membantunya masuk ke dalam bot sebelum 'dia menoleh ke belakang dan melihat ibunya hilang dari permukaan air'.

ANGGOTA polis menjalankan operasi mencari mangsa di Tasik Piru. - Foto AFP
ANGGOTA polis menjalankan operasi mencari mangsa di Tasik Piru. - Foto AFP

Beliau memaklumkan, arus deras di tasik itu dipercayai berkemungkinan menjadi punca insiden yang meragut nyawa berkenaan.

"Dipercayai bot itu berkemungkinan mula hanyut - ia tidak bersauh - dan mangsa mengerahkan sepenuh tenaga untuk memasukkan anak ke dalam bot tetapi gagal menyelamatkan dirinya," katanya.

Susulan itu, tasik berkenaan ditutup kepada awam sejak Rabu lalu, bagi membolehkan operasi mencari dijalankan secara bersepadu membabitkan kira-kira 100 anggota, termasuk Pengawal Pantai AS serta penyelamat dari county berdekatan.

Pasukan terbabit operasi itu menggunakan rakaman daripada panggilan pesanan video dibuat Rivera dari bot sebelum hilang, selain maklumat diberi oleh anaknya, untuk melakukan pencarian di sebahagian dasar tasik selama enam hari tetapi gagal menemui mangsa.

"Kami percaya, mayat mangsa tersangkut di dasar tasik sebelum akhirnya terapung berikutan penguraian secara semula jadi," kata Ayub.

Beliau berkata, dengan jarak penglihatan dalam air kurang 30 sentimeter pada waktu siang, operasi mencari adalah satu usaha sukar walaupun menggunakan peralatan sonar.

Rivera terkenal dengan wataknya sebagai Santana Lopez dalam 'Glee' dan membintangi siri drama muzikal popular itu selama enam musim.

Sebelum ini, pelakon 'Glee' pernah ditimpa tragedi, termasuk Mark Salling yang membunuh diri pada 2018, manakala Cory Monteith pula meninggal dunia pada Julai 2013 akibat pengambilan dadah dan alkohol secara berlebihan. - AFP

Berita Harian X