Sabtu, 25 Julai 2020 | 9:49pm
PESAKIT yang kritikal diminta pulang habiskan ‘waktu terakhir’ di sisi keluarga.
PESAKIT yang kritikal diminta pulang habiskan ‘waktu terakhir’ di sisi keluarga.

Hospital Texas sesak, pesakit 'tiada harapan' diminta pulang

TEXAS: Doktor hospital sekitar Texas hingga sempadan Amerika Syarikat (AS) dan Mexico mungkin terpaksa menghantar pulang pesakit COVID-19 yang kritikal bagi menghabiskan 'waktu terakhir' di sisi keluarga.

Pegawai kesihatan di Starr County berkata pendekatan itu akan membolehkan pihak hospital memanfaatkan ruang terhad bagi merawat pesakit yang ada harapan sembuh.

Pihak Berkuasa Kesihatan Daerah, Dr Jose Vasquez, memaklumkan minggu ini mereka akan menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji kes pesakit di Starr County Memorial Hospital di Rio Grande City.

"Sekurang-kurangnya 50 peratus pesakit yang dimasukkan ke wad kecemasan hospital adalah positif COVID-19 dan keadaan kini sangat terdesak.

"Texas, lokasi terburuk COVID-19, menghadapi 'tsunami' pesakit, hingga memaksa hospital itu menerima kemasukan pesakit lebih daripada kemampuan.

"Kawasan luar bandar Texas semakin menunjukkan peningkatan kes sejak sebulan lalu dan ini adalah kali pertama hospital terbabit menerima kemasukan pesakit COVID-19," katanya.

Hakim Starr County, Eloy Vera, dalam catatan Facebook berkata Starr County Memorial Hospital mempunyai kemampuan terhad.

"Justeru, doktor terpaksa membuat keputusan siapa yang perlu menerima rawatan dan siapa dihantar pulang untuk menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga tersayang.

"Ini adalah sesuatu yang kami tidak mahu masyarakat lalui tapi tidak dapat dielakkan," katanya.

Tambah Vasquez, ia adalah keputusan yang sangat sukar, namun dengan sumber yang terhad, pegawai perlu mempertimbangkan siapa yang memiliki peluang terbaik untuk bertahan.

Katanya, bagi pesakit yang tidak mempunyai harapan untuk sembuh, pihaknya percaya mereka akan dijaga dengan lebih baik oleh keluarganya sendiri dan penuh kasih sayang, berbanding menunggu ajal sendirian di katil hospital. -AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X