Sabtu, 1 Ogos 2020 | 9:09am
Ketua Parti Komunis China di wilayah Xinjiang, Chen Quanguo, yang juga dikenali sebagai 'arkitek' penindasan etnik minoriti. - Foto AFP
Ketua Parti Komunis China di wilayah Xinjiang, Chen Quanguo, yang juga dikenali sebagai 'arkitek' penindasan etnik minoriti. - Foto AFP

AS laksana sekatan terhadap badan separa tentera China

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) melaksanakan sekatan terhadap sebuah badan separa tentera yang mempunyai banyak kepentingan di Xinjiang, barat laut China, atas dakwaan menindas etnik minoriti Islam terutama Uighur.

"Semua aset milik Xianjing Production and Constrution Corps yang mengendalikan penempatannya sendiri, universiti dan media di rantau itu yang mengutamakan etnik majoriti Han, akan dibekukan," menurut Jabatan Perbendaharaan AS.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin, dalam satu kenyataan, berkata AS komited untuk menggunakan kekuatan kewangan dengan sepenuhnya bagi mengekang pencabulan hak asasi manusia.

"Mereka harus bertanggungjawab termasuk di Xinjiang dan di seluruh dunia," katanya.

Ditubuhkan pada 1950-an di bawah arahan pengasas komunis China, Mao Zedong, syarikat yang dikenali sebagai Bingtuan itu menyediakan latihan semula bagi bekas tentera dalam bidang pertanian dan bekerja di ladang sekitar Xinjiang.

Syarikat itu kini memiliki sebahagian besar tanah ladang dan perniagaan di wilayah berkenaan termasuk perniagaan harta tanah, insurans, plastik dan simen.

Menurut kumpulan hak asasi manusia, China sejak beberapa tahun kebelakangan ini meningkatkan penghijrahan etnik Han ke wilayah itu dan berusaha menghapuskan kepentingan Uighur serta umat Islam lain.

Ini termasuk melarang mereka terus mengikuti atau mematuhi amalan Islam, malah aktivis mendakwa kira-kira sejuta etnik Uighur dan Islam dihantar ke kem tahanan di mana pemikiran mereka dipengaruhi.

Proses itu disamakan dengan apa yang tentera Nazi Jerman lakukan terhadap kaum Yahudi tetapi dinafikan China yang menegaskan kem itu adalah pusat latihan vokasional bagi mengurangkan pengaruh kumpulan radikal Islam.

AS pada awal Julai, membekukan visa dan aset tiga pegawai tertinggi di Xinjiang termasuk ketua parti Komunis di wilayah itu, Chen Quanguo.

Jabatan Perbendaharaan berkata pihaknya akan mengambil tindakan terhadap Bingtuan kerana ada kaitan dengan Chen, yang sebelum ini pernah berkhidmat di Tibet dan dikenali sebagai 'arkitek' penindasan etnik minoriti. - AFP

Berita Harian X