Sabtu, 1 Ogos 2020 | 10:15am
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

AS dakwa remaja jadi dalang godam Twitter

SAN FRANCISCO: Seorang remaja Amerika Syarikat (AS) yang disyaki mendalangi penggodaman Twitter didakwa di mahkamah semalam bersama dua lagi suspek kerana melakukan penipuan lebih AS$100,000 (RM424,000) dalam mata wang kripto.

Pendakwa di Florida berkata mereka memfailkan 30 pertuduhan jenayah terhadap suspek berusia 17 tahun yang dianggap dalang serangan siber itu.

Peguam Negeri Hillsborough, Andrew Warren, berkata suspek utama itu ditahan di Tampa, Florida.

Sementara itu, Pejabat peguam Negara AS di San Francisco mengumumkan pendakwaan terhadap tiga suspek termasuk seorang dari Britain, kerana terbabit dalam serangan siber pada pertengahan Julai lalu yang menggegarkan Twitter itu.

Pegawai AS berkata, Mason 'Chaewon' Sheppard of Britain, 19, bersama Nima Fazeli, 22, dari Florida, menghadapi tuduhan jenayah dalam kes itu.

Butiran mengenai suspek ketiga tidak didedahkan kerana masih di bawah umur tetapi difahamkan mereka merujuk kepada suspek utama yang menghadapi tuduhan sebagai pesalah dewasa walaupun masih bawah umur.

Pihak pendakwa berkata penggodaman Twitter itu membabitkan gabungan 'gangguan teknikal dan penstrukturan sosial' yang membolehkan penggodam

'merampas' akaun Twitter ahli politik, selebriti dan pemuzik.

Defendan terbabit dituduh mewujudkan akaun palsu mata wang kripto, Bitcoin, untuk menghantar ciapan menawarkan ganjaran menggandakan deposit mata wang kripto Bitcoin yang dibuat.

Menurut Twitter, serangan 'spear phishing' menggunakan telefon itu membolehkan penggodam mengambil alih akaun individu terkenal seperti Bill Gates, Elon Musk dan Barack Obama bagi memperdaya orang ramai menghantar wang.

"Penggodam hanya menggunakan nama individu terkenal terbabit dan mereka bukan mangsa utama, sebaliknya yang tertipu adalah orang awam.

"Mereka 'merampas' ratusan akaun Twitter berprofil tinggi ini pertengahan Julai lalu selepas mendapat akses dengan memperdaya beberapa kakitangan Twitter menerusi 'spear phishing' bagi mendedahkan kata laluan mereka," katanya.

Secara keseluruhan, kira-kira 130 akaun Twitter digodam, ciapan palsu dihantar daripada 45 akaun dan penggodam mengakses mesej peribadi 36 akaun serta memuta turun data daripada tujuh akaun.

Jenayah itu turut menimbulkan pertikaian terhadap keselamatan media sosial dalam talian yang kini semakin kerap digunakan oleh sektor politik dan hal ehwal awam. - AFP

Berita Harian X