Ahad, 2 Ogos 2020 | 8:12am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

WHO jangka pandemik COVID-19 lebih lama

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memberi amaran pandemik COVID-19 mungkin mengambil masa lama dibendung selepas jawatan kuasa kecemasan melakukan penilaian mengenai kesannya sejak enam bulan lalu sehingga mencetuskan kebimbangan global.

WHO juga memberi amaran bahawa ada risiko tekanan dalam konteks sosio ekonomi.

COVID-19 kini sudah meragut 680,000 nyawa dan menjangkiti 17.6 juta sejak ia dikesan di China pada Disember tahun lalu.

Dalam mesyuarat ahli panel WHO kali keempat terdiri daripada 17 ahli dan 12 penasihat sebulat suara bersetuju wabak itu masih berada pada tahap kecemasan kesihatan awam yang menjadi perhatian antarabangsa (PHEIC).

Beberapa negara turut mengenakan sekatan dalam usaha mengawal penyebaran virus dan jawatankuasa juga menggesa WHO memberikan panduan pragmatik mengenai pengurusan COVID-19 bagi mengurangkan tekanan sosio ekonomi.

Jawatankuasa itu turut mendesak WHO untuk menyokong negara dalam mempersiapkan terapi dan vaksin yang terbukti serta mempercepat penyelidikan mengenai virus tidak diketahui kritikal.

Malah lebih banyak penjelasan mengenai dinamik virus membabitkan cara penularan, potensi mutasi, kekebalan dan perlindungan.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata kesan pandemik ini akan berlanjutan.

"Kita seharusnya serius memikirkan enam bulan yang lalu, ketika anda mengesyorkan saya menyatakan PHEIC. Terdapat kurang daripada 100 kes dan tidak ada kematian di luar China.

"Pandemik ini adalah krisis kesihatan sekali dalam satu abad yang kesannya akan dirasakan selama beberapa dekad akan datang," katanya.

Jawatankuasa itu memberi amaran kepada negara lain untuk menyiapkan sistem kesihatan mereka bagi mengatasi selesema bermusim dan wabak penyakit lain bersamaan begitu juga COVID-19.

Di samping itu, ia turut mendorong solidariti global pada COVID-19 dan mengatasi sebarang maklumat tidak tepat mengenai virus itu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X