Rabu, 11 November 2015 | 2:48pm

Komuniti Islam ASEAN boleh jadi contoh kepada dunia


ASYRAF (kanan) diperkenalkan kepada peserta Persidangan Komuniti ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Bangi hari ini. - Foto BERNAMA

BANGI: Komuniti Islam ASEAN yang mempunyai nilai kesederhanaan dan penuh adab tatasusila boleh menjadi contoh kepada dunia supaya Islam dilihat dalam kaca mata yang lebih positif, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, penekanan terhadap wasatiyyah atau kesederhanaan yang dibawa oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini amat dekat dengan komuniti Asia Tenggara yang mempunyai nilai sederhana dan toleransi.

"Inilah nilai yang harus kita promosikan supaya dunia dapat melihat Islam dengan lebih positif dan menjadikan ASEAN sebagai model," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Komuniti ASEAN bertemakan Peradaban Islam dalam Komuniti ASEAN: Cabaran dan Harapan, di sini, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, potensi ASEAN itu boleh diserlahkan dengan mewujudkan satu masyarakat yang berbilang adat budaya tetapi mempunyai asas yang sama sekali gus menjadikan ASEAN lebih kuat dalam konteks ekonomi, sosio politik dan pembangunan secara keseluruhannya.


ASYRAF menandatangani plak bagi merasmikan Persidangan Komuniti ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Bangi hari ini. - Foto BERNAMA

"Saya kira dengan adanya nilai yang menjadi teras hidup masyarakat di Asia Tenggara ini, kita dapat melonjak ASEAN dengan lebih tinggi," katanya.

Namun, katanya, ASEAN dengan populasi penduduk Islam terbesar di dunia iaitu 257 juta orang, hari ini juga menghadapi cabaran terutamanya elemen ekstremisme dan radikalisme yang begitu mudah meresap dalam masyarakat.

"Ini cabaran paling besar yang perlu ditangani. Paling penting, lonjakan tamadun Islam dan kerangka ilmu yang benar dan bukan memahami Islam dalam kerangka sentimen yang membuta tuli," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X